fbpx
Ekonomi

E-Tunai: RM18.8 juta dibelanja kurang 48 jam

PUTRAJAYA, 17 Jan — Dalam tempoh kurang 48 jam sejak pelaksanaan program e-Tunai Rakyat, sebanyak RM18.8 juta telah dibelanjakan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, program itu menerima reaksi yang menggalakkan apabila setakat 10 malam semalam, sebanyak 784,000 permohonan diterima dan daripada jumlah itu, 672,000 permohonan telah diluluskan.

“Saya harap seluruh rakyat ambil manfaat ini. Ini hadiah daripada kerajaan Pakatan Harapan,” katanya kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Rakan Pelaksana Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya antara MRT Corp dan MMC-Gamuda JV, di sini hari ini.

Ditanya kebimbangan orang ramai berhubung pencerobohan data peribadi, Lim berkata perkara itu tidak akan berlaku kerana data yang diperoleh tidak akan didedahkan kepada pihak berkepentingan.

“Kalau kita nak sebut data, sudah ada data dari kad pengenalan. Kalau ada apa-apa manfaat pun ianya (data) dari segi trend penggunaan.


“Di sini janganlah terbawa-bawa oleh pihak tertentu yang mungkin iri hati dengan sambutan baik atas e-wallet ini (e-dompet). Mereka cuba memperkotak-katikkan usaha ini,” katanya.

Dianggarkan 15 juta rakyat Malaysia layak menuntut wang RM30 pemberian kerajaan daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet iaitu Boost, GrabPay dan Touch ´n Go eWallet, bermula Rabu (15 Jan) sehingga 14 Mac.

Di bawah program itu, warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas termasuk yang berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak menerima RM30 dalam bentuk e-kredit melalui mana-mana aplikasi e-dompet yang terlibat.

Wang tersebut perlu dibelanjakan antara 15 Jan hingga 14 Mac 2020 dan mana-mana bahagian yang tidak dibelanjakan akan luput selepas tempoh tersebut.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button