NasionalParlimen

Kerajaan prihatin bantu M40 – Rafizi Ramli

KERAJAAN memandang serius impak pandemik Covid-19 kepada isi rumah termasuk isi rumah M40 yang mengalami penurunan pendapatan sehingga ada sebahagiannya beralih kepada had pendapatan B40.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Kerajaan memberi perhatian penuh kepada kumpulan M40 yang turut terdedah kepada peningkatan kos sara hidup yang tinggi dan pertumbuhan pendapatan yang perlahan.

Sehubungan itu, antara usaha Kerajaan bagi membantu M40 termasuk menyediakan bidang keutamaan khusus bagi memberi sokongan kepada M40 dalam RMKe-12, katanya.

“Antara strategi untuk memberi sokongan kepada mereka adalah dengan usaha untuk melonjakkan pendapatan M40, menambah baik akses kepada pendidikan bagi bantuan pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak serta memudah cara pemilikan rumah mampu milik.

“Di samping itu, insentif akan disediakan untuk menggalakkan mereka memiliki insuran pekerjaan seperti Program Elaun Mencari Pekerjaan dan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri,” katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Beliau meminta Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan apakah pecahan terkini garis pendapatan rakyat Malaysia dan apakah langkah yang diambil oleh Kerajaan bagi membantu golongan M40 yang dikatakan kini telah menjadi M70.

Rafizi dalam jawapannya berkata, pada tahun 2022, Kerajaan juga telah memutuskan untuk memperuntukkan lebih daripada RM80 bilion untuk meneruskan bantuan subsidi termasuk:

  1. bantuan kebajikan seperti bantuan tunai;
  2. Subsidi petrol, diesel dan LPG;
  3. Subsidi minyak masak; d. subsidi kepenggunaan dan subsidi-subsidi lain termasuk subsidi elektrik serta bagi nelayan dan petani.

“Sebagai contoh, Sumbangan Tunai Rahmah yang diberikan kepada isi rumah dengan pendapatan RM5,000 dan ke bawah turut mengambil kira golongan 10% terendah dalam kalangan M40. Malah isi rumah M40 yang beralih kepada had pendapatan B40 turut layak mendapat bantuan yang sama.

“Bagi menangani kos sara hidup, subsidi untuk membantu mengawal harga barang kepenggunaan dan minyak masak serta petrol juga memberi manfaat kepada semua kumpulan isi rumah, baik B40 mahupun M40,” jelasnya.

Tambah beliau, Kerajaan melalui Jabatan Perangkaan Malaysia juga sedang memuktamadkan dapatan Survei Pendapatan, Perbelanjaan dan Kemudahan Asas 2022 melibatkan 92,000 isi rumah bermula daripada Januari 2022 hingga Disember 2022.

Beliau berkata, had pendapatan bagi setiap kumpulan pendapatan akan dikemas kini melalui kajian ini yang dijangka diterbitkan dalam pertengahan tahun 2023.

Kementerian sedang menyemak semula kategori kumpulan pendapatan isi rumah sedia ada bagi membolehkan bantuan yang lebih bersasar dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021 – 2025 (RMKe-12).

Semakan ini akan mengambil kira perubahan struktur pendapatan dan perbelanjaan, kos sara hidup, kuasa beli, demografi serta lokasi isi rumah. Kategori kumpulan pendapatan isi rumah yang baharu akan memantapkan lagi penggubalan dasar dan menambah baik penyampaian perkhidmatan.

Melangkah ke hadapan, Kerajaan merancang untuk beralih daripada pemberian subsidi menyeluruh menggunakan pendekatan berdasarkan kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 kepada pendekatan yang lebih bersasar.

Ini mengambil kira antaranya pendapatan boleh guna yang dipadankan dengan kos sara hidup semasa berdasarkan demografi ahli keluarga dan lokaliti.

Pada masa ini, Kementerian Ekonomi melalui Jabatan Perangkaan Malaysia sedang membangunkan infrastruktur data yang bersesuaian untuk membantu penggubalan dasar yang berasaskan bukti (evidence-based). – SM

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button