Kemalangan

Dollah Salleh kemalangan

SEREMBAN: Pengurus pasukan Sri Pahang FC Dollah Salleh dan tujuh ahli keluarganya terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas di Kilometer 8 Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata, nahas berlaku kira-kira jam 9 malam ketika ahli keluarga itu dipercayai menuju ke Shah Alam, Selangor, dari Muadzam Shah, Pahang.

Katanya, Dollah, 59, yang juga bekas jurulatih kebangsaan cedera ringan di leher, manakala isterinya, Roslina Ibrahim, 58, masih dalam rawatan.

Ahli keluarga lain yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Velfire, termasuk seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan, tidak cedera, tambahnya.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila menantu Dollah, Muhammad Shafiq Shukaimi, 34, yang memandu kereta MPV itu hilang kawalan kenderaan menyebabkan ia terbabas ke laluan bertentangan dan hampir terjunam ke dalam gaung sebelum berhenti.

Lain-lain yang menaiki kenderaan itu ialah isteri Muhammad Shafiq, Nurdian Dollah, 34, dan empat anak mereka, Nur Sarah Amanda, 10, Nur Shffiya Ayra, 9, Nursabrina Adeena, 5, dan bayi, Muhammad Sulaiman Adeen.

Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Pilah dan dilaporkan dibenarkan keluar awal hari ini, katanya dalam satu kenyataan.

Imej nahas yang dipercayai dirakam penduduk di kawasan itu tular di media sosial sejak malam tadi.—BERNAMA

 

(Visited 429 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button