Politik

Darurat: Menteri minta Majlis Peguam bertindak ikut undang-undang

Majlis Peguam Malaysia serta semua pengamal undang-undang untuk bertindak mengikut lunas undang-undang yang termaktub.

Kumpulan profesional itu juga diminta untuk memberikan kefahaman serta pencerahan mengenai undang-undang kepada masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Kerajaan dukacita di saat-saat semua jentera kerajaan menumpukan segala usaha untuk memerangi Covid-19 terdapat sesetengah pihak yang cuba membuat tafsiran tentang undang-undang mengikut selera sendiri.

Tindakan kumpulan itu menurut Takiyuddin seolah-olah bertujuan untuk meraih populariti di kalangan rakyat.

“Sebagai badan profesional bidang undang-undang, saya yakin Majlis Peguam tetap mendokong prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang negara serta akan terus menentang usaha-usaha memesongkan kehendak undang-undang terutamanya ketika negara sedang berada dalam kadaan kritikal dan getir dengan penularan berterusan wabak Covid-19 ini.

“Perlu ditekankan bahawa Ordinan Darurat hanyalah terpakai ketika negara berada di dalam tempoh Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos 2021 sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, negara berada dalam suasana darurat dari segi undang-undang apabila Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa darurat besar sedang berlaku yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.

Tegasnya, berdasarkan peruntukan Perkara 150(1) Baginda telah mengisytiharkan suatu Proklamasi Darurat pada 11 Januari 2021 dan berkuat kuasa hingga 1 Ogos 2021.

“Langkah ini jelas merupakan usaha yang serius dan berfokus Kerajaan dalam rangka memperkasakan usaha-usaha membasmi wabak penyakit berjangkit Covid-19 ini termasuklah menggubal dengan segera Ordinan-Ordinan yang perlu semasa tempoh darurat.

“Kerajaan mengharapkan langkah Kerajaan yang semata-mata menumpukan kepada aspek-aspek kesihatan, ekonomi dan sosial ini difahami sepenuhnya oleh semua lapisan masyarakat demi kebaikan individu, masyarakat, komuniti dan negara keseluruhannya,” katanya.-SM

(Visited 193 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button