Ekonomi

Dana Permodalan Semula buka peluang PKS terima lebih banyak bantuan pembiayaan

USAHAWAN PKS kini boleh memanfaatkan Dana Permodalan Semula PKS bernilai RM600 juta yang diumumkan oleh Menteri Kewangan sewaktu Pembentangan Bajet 2022.  Bertindak sebagai agensi pelaksana, SME Bank memperuntukkan RM200 juta, TERAJU memperuntukkan RM300 juta dan Bank Simpanan Nasional menyumbang RM100 juta untuk Dana Permodalan Semula PKS ini.

Dana Permodalan Semula PKS adalah sebahagian daripada Program Semarak Niaga yang diperkenalkan sewaktu Bajet 2022 yang bertujuan untuk memastikan pertumbuhan semula PKS, menggalakkan pengembangan perniagaan serta mengawal tahap keberhutangan mereka melalui penyelesaian pembiayaan yang lebih inovatif.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Datuk Ahmad berkata, “Sebagai langkah menyokong pembangunan semula usahawan PKS ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) turut menyediakan dana sebanyak RM4 juta ringgit bagi membolehkan usahawan yang layak mengikuti Program Ekuiti Malaysia yang juga merupakan keperluan bagi memohon Dana Permodalan Semula PKS.”

“KUSKOP menyasarkan sehingga 650 buah syarikat yang akan memperoleh manfaat daripada Program Ekuiti Malaysia ini. Program ini menggunakan teknologi AI melalui aplikasi Enterprise Lifecyle Scoring Assessment atau ELSA untuk menganalisis syarikat-syarikat berkenaan,” ulas Dato’ Suriani.


Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Aria Putera Ismail berkata, “Usahawan yang ingin memohon Dana Permodalan Semula PKS perlu mengikuti Program Ekuiti Malaysia yang disediakan oleh anak syarikat SME Bank, Centre for Entreprenur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR).

Usahawan akan dinilai menggunakan aplikasi ELSA bagi memperoleh laporan prestasi terkini dan kemudiannya akan dibimbing untuk membina pelan perniagaan, penetapan KPI dan sasaran syarikat. Ketika-tiga dokumen ini akan membolehkan usahawan untuk melabur dalam pemerolehan ekuiti saham dengan lebih teratur.”

Aria menambah, “Dana Permodalan Semula PKS ini menawarkan pelaburan ekuiti sehingga RM5 juta untuk usahawan yang layak.  Mereka boleh menggunakan pelaburan ini bagi keperluan modal kerja dengan tempoh bayaran balik sehingga lima tahun dengan kadar dividen keutamaan jangkaan sebanyak 6% setahun.”

Dana Permodalan Semula PKS ini juga tidak akan menjadi liabiliti, tetapi dikira sebagai pegangan saham syarikat dan tidak mempunyai kesan kepada “gearing level” jika usahawan ingin memohon pembiayaan lain.  Bayaran balik pelaburan pula adalah secara fleksibel dan berpotensi untuk ditukar menjadi saham syarikat.

Dana Permodalan Semula PKS telah dilancarkan oleh Datuk Suriani Datuk Ahmad, Ketua Setiausaha KUSKOP dan disaksikan oleh Datuk Dr Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Md Silmi Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Jay Khairil Jeremy Abdullah, Ketua Eksekutif, Bank Simpanan Nasional (BSN).

Usahawan PKS yang berminat untuk mengetahui tentang Dana Permodalan Semula PKS boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank di 03-26037700 atau layari laman web rasmi www.smerecapfund.com untuk maklumat lanjut. – SM

Artikel berkaitan > Penjana [email protected] Bank diteruskan untuk bantu usahawan B40

(Visited 104 times, 2 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button