Ekonomi

Credit Suisse iktiraf status AirAsia sebagai Unikorn Teknologi Digital

SEJAJAR dengan ekonomi digital Asia Tenggara yang terus berkembang pesat, transformasi AirAsia sebagai sebuah syarikat perjalanan dan gaya hidup yang disokong oleh data dan teknologi telah diperakui sebagai salah satu daripada tiga Unikorn Asean yang berpusat di Malaysia oleh laporan Credit Suisse baru-baru ini selain Carsome dan Edotco.

Credit Suisse melaporkan bagaimana ekonomi digital dipacu oleh perubahan struktur dan tingkah laku pengguna berikutan COVID-19 yang telah mempercepatkan proses digitalisasi.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata: “Ini adalah bukti kukuh kepada industri ini bahawa strategi kami untuk menjadi lebih daripada sekadar syarikat penerbangan dalam era digital bukan sahaja berada di landasan yang tepat, malah menjadikan jenama AirAsia sebagai pemain utama dalam sektor e-dagang dan perkhidmatan penghantaran di Asean.

“Dengan nilai syarikat yang ditaksirkan lebih daripada USD1 bilion, perniagaan digital kami telah mencapai status Unikorn dalam jangka masa kurang dari dua tahun sejak kami mempercepatkan momentum pertumbuhan perniagaan bukan penerbangan kami semasa sekatan perjalanan berikutan pandemik yang melanda.

“AirAsia seharusnya tidak lagi hanya dikenali sebagai hanya sebuah syarikat penerbangan. Kini kami adalah kumpulan perkhidmatan digital. Walaupun asas kami adalah industri penerbangan, kini kami menawarkan lebih banyak perkhidmatan, seperti airasia Super App sendiri dengan lebih daripada 15 tawaran perjalanan dan gaya hidup berbeza yang melengkapi satu sama lain, serta cabang teknologi pendidikan yang terus berkembang iaitu airasia Academy. Kami juga mempunyai cabang kargo dan logistik yang semakin berkembang iaitu Teleport serta perniagaan perkhidmatan kewangan BigPay yang menawarkan penyelesaian teknologi kewangan yang mantap dan bakal menjadi bank maya pertama di ASEAN.


“Dari segi syarikat penerbangan, kami mempunyai francais restoran dan kumpulan perniagaan makanan iaitu Santan, dan syarikat kejuruteraan udara iaitu Asia Digital Engineering (ADE) yang akan mengubah perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di rantau ini. Kami juga mempunyai yang menerajui industri perkhidmatan pengendalian darat iaitu Ground Team Red (GTR). Semuanya semakin berdaya maju dan diperkasakan oleh era digital.

“Kami adalah sebuah syarikat digital sejak penubuhan kami. AirAsia adalah syarikat penerbangan pertama di Asean yang menjual tiket penerbangan dalam talian dan mengendalikan pembayaran digital untuk berjuta-juta pengguna dalam talian buat pertama kali pada 20 tahun yang lalu.

“Perjalanan transformasi utama kami bermula lebih dari dua tahun yang lalu, sebelum Covid melanda, apabila saya menyedari kami mempunyai aset yang besar dalam jenama, data dan kakitangan kami. Apa yang positif dalam keadaan pandemik ini adalah ia membantu kami untuk memacu rancangan transformasi dengan lebih cepat dan kami melihat peluang yang amat besar untuk mensasarkan lebih daripada 700 juta orang di Asia Tenggara, salah satu populasi digital yang paling cepat berkembang.

“Fungsi menghubungkan Asean sudah menjadi sebahagian daripada AirAsia sejak awal lagi dan kami akan terus melakukannya. Pada dasarnya kami kini adalah sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran yang menghubungkan orang ramai, menghubungkan destinasi dan menghantar pakej dan bungkusan, menyediakan produk teknologi kewangan dan pendidikan dalam talian. Tujuan kami adalah untuk menjadi sebuah syarikat pengedaran digital yang paling popular, menguntungkan dan menawarkan kos terendah di Asia Tenggara.

“Untuk menyokong perkembangan pesat ini, AirAsia telah mengalami transformasi menjadi sebuah syarikat pegangan pelaburan dengan portfolio perniagaan perjalanan dan gaya hidup, termasuk AirAsia Aviation Limited, Asia Digital Engineering (ADE), Santan Restaurant, Ground Team Red (GTR), airasia Super App, Teleport, dan Bigpay.

“Apa yang membezakan AirAsia daripada pesaing kami di arena digital adalah data berkualiti mengenai pelanggan yang dibina selama lebih 20 tahun, jenama dikenali ramai yang memberikan pengalaman luar biasa kepada dan ganjaran hebat kepada pelanggan. Dengan kelebihan ini, kami tidak perlu bermula daripada sifar dan  mempunyai kelebihan perkhidmatan dan pelanggan sedia ada yang selari dengan teras utama kami untuk sentiasa memberikan nilai yang terbaik.

“Saya amat yakin dengan strategi kami bahawa kami tidak memerlukan pelaburan besar untuk mencipta sesuatu dari awal seperti syarikat lain dan bahawa pasukan saya dapat memberikan perkhidmatan terkemuka di dalam industri dengan kos yang lebih rendah.

“Saya yakin dan percaya kami akan menjadi pemain utama dalam ekonomi digital di Asean. Baru-baru ini, kami juga telah memenangi kategori Inovasi Perniagaan di Anugerah Strategi Penerbangan 2021. Pesaing-pesaing kami telah melihat kejayaan kami, dan kami akan terus berusaha untuk memberikan inovasi dan kerjasama baharu yang akan menggegarkan industri ini, seperti mana kami merevolusikan industri penerbangan Asean pada 20 tahun yang lalu.”

(Visited 17 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button