Ekonomi

Ekosistem R&D hasilkan produk koko berkualiti

SATU ekosistem yang menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) Lembaga Koko Malaysia (LKM) perlu diwujudkan untuk menghasilkan lebih banyak produk berasaskan koko yang berkualiti.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata LKM turut menyasar untuk menghasilkan lebih 10 inovasi atau teknologi baharu berasaskan Internet Pelbagai Benda (IoT) dan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

“Pencapaian sektor koko perlu ditingkatkan lagi bagi membolehkan Malaysia terus bersaing sebagai pasaran penting selain mengambil peluang dari pasaran antarabangsa yang giat berkembang,” katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Tahunan Saintis LKM (MASW) 2021 secara maya di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, projek R&D LKM bermula sejak Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) (2001-2005) dan sehingga kini sebanyak 105 projek dengan peruntukan berjumlah RM75.3 juta dijalankan.

Sebanyak 17 projek R&D bernilai RM42.7 juta telah dilaksanakan manakala 630 penerbitan berimpak tinggi serta laporan teknikal telah dihasilkan sepanjang Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), katanya.

Beliau berkata, selain itu, sembilan projek R&D bernilai RM14.1 juta sedang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

Mohd Khairuddin berkata, penyelidikan LKM telah menerima 60 pengiktirafan di dalam dan luar negara bagi inovasi dan teknologi yang dihasilkan melalui aktiviti R&D manakala 38 inovasi dan teknologi yang dihasilkan di bawah RMK11 telah memperoleh hak harta intelek.

LKM telah menumpukan penyelidikan berasaskan permintaan pasaran mulai 2014 dengan 63 teknologi dan produk dibangunkan antaranya bagi menghasilkan klon koko baharu, teknologi pengurusan kebun, kawalan penyakit dan pemprosesan komoditi serta penghasilan produk makanan dan bukan makanan berasaskan koko, katanya.

Beliau berkata, kerjasama antara LKM dan Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) yang terjalin sejak 2019 di bawah program ‘Innovation to Market’ (I2M) akan diteruskan agar usaha pengkomersialan produk R&D LKM dapat direalisasikan.

Sektor koko menyumbangkan sebanyak RM6.23 bilion kepada pendapatan eksport negara pada 2020 dan RM1.64 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun yang sama, iaitu meningkat 5.4 peratus daripada RM1.56 bilion pada 2019, katanya.

MASW 2021 bertemakan ‘Mentransformasikan Budaya R&D ke arah Penyelidikan Dipacu Pasaran’ (Transforming R&D Culture Towards Market-Driven Research) untuk meningkatkan keupayaan penyelidik LKM serta menggalakkan pengkomersialan hasil R&D LKM. –BERNAMA

(Visited 64 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button