Nasional

Covid-19: Lebih 4,000 pekerja warga asing positif – Ismail Sabri

MENTERI Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 251,101 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 sejak 1 Disember lalu sehingga semalam dengan 4,735 orang didapati positif jangkitan virus itu.

Beliau berkata, sebanyak 10,500 majikan telah menghantar pekerja mereka menjalani ujian itu yang diwajibkan oleh kerajaan ke atas pekerja asing.

“Semalam, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 8,601 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 dengan 133 daripadanya positif.

“Hingga kini juga, 887 klinik terlibat dengan program saringan ini,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Ujian itu selaras dengan arahan kerajaan yang mewajibkan semua pekerja warga asing khususnya di enam negeri.


Negeri berkenaan ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dengan kos ditanggung majikan masing-masing.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, sejak 20 April lalu, anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menjalankan 14,840 pemeriksaan melibatkan 8,404 tapak pembinaan di seluruh negara.

Katanya, mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pula, semalam Polis telah menahan 426 individu dengan 404 dikompaun, 21 direman dan seorang dijamin.

Kawalan sempadan menerusi Operasi Benteng pula menyaksikan 23 pendatang tanpa izin ditahan manakala lima kenderaan darat dan dua bot dirampas, katanya dalam kenyataan yang sama. – SM

(Visited 71 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button