Ekonomi

CIMB Group catat untung bersih RM1.01 bilion pada suku ketiga

KEUNTUNGAN bersih CIMB Group Holdings Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2019 susut kepada RM1.01 bilion daripada RM1.18 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.

Perolehan, bagaimanapun, meningkat kepada RM4.64 bilion daripada RM4.14 bilion sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata prestasi asas CIMB Group kekal kukuh walaupun menghadapi persekitaran yang mencabar.

“Prestasi lebih baik itu didorong oleh pendapatan faedah bersih (NII) dan pendapatan bukan faedah (NOII) yang tinggi, dan peruntukan yang lebih rendah.

“Pertumbuhan lembaran imbangan kami terus kukuh dengan pinjaman dan deposit meningkat, didorong oleh perniagaan pengguna kami di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019, keuntungan bersih CIMB Group merosot kepada RM3.68 bilion daripada RM4.54 bilion dalam tempoh sama tahun lepas dan perolehan susut kepada RM13.27 bilion daripada RM13.31 bilion sebelum ini.

Tengku Zafrul berkata tidak termasuk keuntungan sekali sebanyak RM928 juta daripada penjualan sebahagian CIMB-Principal Asset Management (CPAM) dan CIMB-Principal Islamic Asset Management (CPIAM) dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan yang lepas, keuntungan bersih kumpulan perbankan itu dalam tempoh tersebut meningkat 4.9 peratus tahun ke tahun atau pulangan ke atas ekuiti (ROE) tahunan sebanyak 9.1 peratus.

Beliau berkata kumpulan perbankan itu mencatatkan pendapatan operasi yang kukuh sebanyak RM13.27 bilion, naik 7.2 peratus tahun ke tahun, disokong oleh pertumbuhan NII dan NOII.

“NII naik lima peratus tahun ke tahun kepada RM9.31 bilion daripada pertumbuhan pinjaman sebanyak 5.6 peratus, manakala peningkatan NOII sebanyak 12.8 peratus kepada RM3.96 bilion sebahagian besarnya berikutan aktiviti pasaran modal yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata margin faedah bersih (NIM) merosot kepada 2.47 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2019 daripada 2.52 peratus dalam tempoh sama pada tahun kewangan lepas.

“Peruntukan kerugian pinjaman merosot 9.8 peratus kepada RM1.03 bilion, bersamaan dengan caj kerugian pinjaman sebanyak 0.38 peratus,” katanya.

Beliau berkata jumlah pinjaman kasar dan jumlah deposit CIMB Group, masing-masing naik 5.6 peratus dan 7.3 peratus tahun ke tahun, disumbangkan oleh pertumbuhan kukuh daripada operasi di Malaysia dan Thailand.

“Nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) sebanyak 91.6 peratus, mencerminkan kedudukan mudah tunai yang kukuh dengan nisbah akaun simpanan akaun semasa (CASA) kami mengukuh kepada 34.3 peratus,” katanya.

Beliau berkata nisbah susut nilai kasar kumpulan perbankan itu sebanyak 3.2 peratus sehingga akhir September 2019, dengan liputan elaun sebanyak 94.8 peratus.

Tengku Zafrul berkata keuntungan sebelum cukai (PBT) perbankan komersial CIMB Group meningkat 102.4 peratus tahun ke tahun kepada RM1.37 bilion, disokong oleh peruntukan yang rendah dan NOII yang lebih baik.

Beliau berkata PBT bahagian perbankan borong kumpulan perbankan itu naik 16.7 peratus tahun ke tahun kepada RM1.50 bilion daripada peruntukan korporat yang rendah dan aktiviti pasaran modal yang lebih baik yang mencatatkan pertumbuhan NOII sebanyak 14.2 peratus.

Mengenai prestasi mengikut negara, katanya Malaysia menyaksikan prestasi kukuh dalam komersial dan borong, sebahagiannya diimbangi oleh PBT pengguna yang lemah, manakala sumbangan PBT bukan Malaysia kepada kumpulan perbankan itu sebanyak 34 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2019.

“PBT Indonesia naik 6.2 peratus tahun ke tahun kepada RM963 juta dalam tempoh tersebut didorong oleh pendapatan operasi yang lebih kukuh, terutamanya daripada perniagaan penggunanya, manakala peruntukan asas kekal stabil,” katanya.

Beliau berkata sumbangan PBT Thailand sebanyak RM268 juta susut 18.8 peratus tahun ke tahun daripada pendapatan perdagangan yang rendah dan overhed yang tinggi, dengan jumlah sumbangan PBT dari Singapura naik 11.5 peratus tahun ke tahun kepada RM359 juta daripada NIM yang lebih baik.

Tengku Zafrul berkata CIMB Group telah melabur untuk masa depan bagi memastikannya terus berdaya tahan dan kompetitif.

“Kami gembira dengan pelaburan yang dilaksanakan, terutamanya dalam Touch ‘n Go, Filipina, Vietnam, dan Thailand, telah menunjukkan keputusan yang menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata CIMB Philippines, melalui cadangan perbankan digitalnya, memperoleh lebih satu juta pelanggan dalam masa 10 bulan operasi.

“Kualiti aset CIMB Group turut meningkat dengan ketara daripada inisiatif pengurusan risiko yang dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata kumpulan perbankan itu dijangka mencapai sasaran kewangan utamanya selain terus berhati-hati dengan ketidaktentuan global.

Menjelang 2020, Tengku Zafrul berkata CIMB Group akan terus membuat pelaburan yang diperlukan, terutamanya dalam sumber manusia dan teknologi, untuk memastikan daya tahan kumpulan itu dalam menghadapi cabaran industri perbankan. – BERNAMA

(Visited 118 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button