Ekonomipilihan

SME Bank buka jalan PKS ke arah ekonomi kitaran hijau

SME Bank telah berjaya menerbitkan Nota Jangka Sederhana Islam Kelestarian (IMTN) dengan harga akhir penerbitan mencatatkan 59 mata asas lebih tinggi berbanding Sekuriti Kerajaan Malaysia 5-tahun dan membuka jalan kepada usahawan PKS menuju ke arah ekonomi kitaran hijau.

Pengerusi SME Bank, Datuk Seri Nazir Ariff berkata, penerbitan Sukuk Kelestarian ini membuka peluang yang lebih luas bagi PKS kita untuk mengembangkan perniagaan, teknologi dan perkhidmatan mereka.

“Perkara ini juga menyokong aspirasi kerajaan dalam memajukan sektor teknologi hijau yang disasarkan dapat menyumbang RM100 bilion kepada KDNK negara dan menghasilkan 230,000 peluang pekerjaan hijau menjelang tahun 2030 (Sumber: MGTC – Pusat Teknologi Hijau & Perubahan Iklim Malaysia).

“Sasaran-sasaran ini akan membantu dalam mempercepatkan pemulihan ekonomi negara setelah dilanda pandemik,” katanya.

Menurut Nazir, pihaknya berbesar hati untuk menjadi peneraju dalam membuka jalan bagi usahawan PKS menceburkan diri dalam ekonomi kitaran hijau.

Jelasnya, pelantikan RHB Investment Bank Berhad sebagai Penasihat Utama Tunggal dan Pengatur Utama Tunggal serta Pengurus Utama Bersama (JLM) yang berpengalaman dari AmInvestment Bank Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad telah menyumbang secara langsung ke arah pencapaian tersebut.

Sementara itu, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, hasil yang diperoleh daripada penerbitan Sukuk Kelestarian akan menangani masalah pembiayaan yang tidak mencukupi untuk projek hijau dan sosial.

“Hasil ini juga akan meluaskan jangkauan kerana kami dapat membiayai projek yang secara langsung menyokong 11 daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG PBB).

“Pencapaian ini merupakan bukti sokongan padu SME Bank terhadap pemulihan ekonomi negara dan pada masa yang sama dapat menjadikan ekonomi kitaran hijau di Malaysia sebagai norma baru,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Aria, pihaknya telah lama membantu PKS berteknologi hijau melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dan kemudahan pembiayaan lain.

Malah, mereka juga telah diiktiraf oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dengan Anugerah Khas Pembiayaan Tenaga Lestari di bawah kategori Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) akhir tahun lalu.

“Oleh itu, Sukuk Kelestarian SME Bank ini merupakan langkah ke hadapan dalam menunjukkan komitmen kami untuk mewujudkan kesan positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

“Ini juga sejajar dengan rangka kerja SDG PBB untuk mencapai masa depan yang lebih baik dan lestari untuk semua,” katanya.

Pendekatan kelestarian SME Bank memberi fokus kepada pembangunan lestari, di mana pihak Bank berusaha untuk mendidik dan mencipta nilai jangka panjang untuk pihak pemegang taruhnya termasuk pelanggan, pekerja dan masyarakat.

Pada masa yang sama, menyeimbangkan kesan ekonomi, sosial dan persekitaran dalam semua keputusan perniagaannya. Pendekatan kelestarian SME Bank didasarkan pada tiga tonggak utama iaitu aktiviti perbankan dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab serta mewujudkan kesan sosial yang positif.

Sambutan luar biasa dari para pelabur telah membolehkan SME Bank memuktamadkan proses penetapan harga (book building) dibida lebih 3.56 kali atau RM1.78 bilion daripada jumlah terbitan sebenar berjumlah RM500 juta pada kadar kompetitif 3.10%. -SM

(Visited 183 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button