Ekonomi

Bursa Malaysia bermula tinggi sebelum susut

BURSA Malaysia dibuka tinggi sedikit pagi ini tetapi menyusut kemudiannya, mengambil petunjuk daripada prestasi bursa serantau yang lain.

Bursa tempatan turut mengetepikan prestasi Wall Street yang ditutup pada paras tinggi baharu Jumaat lalu, disokong oleh pendapatan korporat yang kukuh serta sokongan berterusan bank pusat terhadap pasaran kewangan.

Pada jam 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.35 mata kepada 1,519.09 daripada penutupan Jumaat pada 1,523.44.

Indeks utama dibuka 1.03 mata lebih tinggi pada 1,524.47.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 272 berbalas 185 manakala 327 kaunter tidak berubah, 1,453 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.


Jumlah dagangan 458.67 juta unit bernilai RM229.01 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya hari ini, walaupun bursa tempatan diniagakan dalam mod mendatar tetapi lebih kepada aliran meningkat minggu lalu, pelabur mungkin mengambil sikap berhati-hati dengan bemulanya persidangan khas Parlimen selama lima hari pada minggu ini.

Namun begitu, firma pembrokeran itu menambah pihaknya turut menjangkakan para pelabur mengalihkan perhatian mereka daripada kadar jangkitan COVID-19 harian kepada kadar vaksinasi yang sedang berjalan sekarang yang terus melepasi paras 400,000 dos sehari dan mereka percaya bahawa ini akan membantu menstabilkan sentimen pasaran dan meningkatkan fokus pada pemulihan saham tema.

Sementara itu, ia berkata harga minyak sawit mentah (MSM) dan minyak Brent telah melonjak minggu lalu.

“Bagi sektor fokus, perkembangan positif di Nasdaq mungkin dapat membantu saham teknologi tempatan.

“Selain itu, kaunter perladangan mungkin meraih keuntungan seiring dengan kenaikan harga MSM di tengah-tengah kebimbangan terhadap pengeluaran yang lebih lemah sementara saham bertema pemulihan turut menjangkakan beberapa minat belian dalam bergerak ke hadapan,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Petronas Chemicals turun dua sen kepada RM8.03 dan IHH Healthcare susut lima sen kepada RM5.76.

Maybank, Public Bank dan TNB masing-masing tidak berubah pada RM8.03, RM4.02 dan RM9.73.

Bagi saham aktif, SMTrack naik 3.5 sen kepada 11.5 sen, MAG Holdings menambah satu sen kepada 20.5 sen, PUC menokok dua sen kepada 17.5 sen, LYC Healthcare naik tiga sen kepada 34.5 sen sementara waran XOX tidak berubah pada satu sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 15.12 mata kepada 11,163.01, dan FBM ACE melonjak 59.06 mata kepada 7,482.29 dan FBM 70 naik 28.92 mata kepada 14,750.23.

Indeks FBM Emas Syariah turun 18.26 mata pada 12,306.90 dan Indeks FBMT 100 susut 17.50 mata kepada 10,855.12.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 26.03 mata kepada 14,818.90, Indeks Perladangan turun 25.38 mata kepada 6,218.16, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.04 mata kepada 189.91. -BERNAMA

(Visited 11 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button