Uncategorized

Brek rosak, lori Angkatan Tentera Malaysia bawa 13 Perajurit Muda langgar tembok

Empat cedera parah selepas sebuah lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa 13 Parajurit Muda melanggar tembok batu pemisah lorong tol di Kilometer 7.1 Plaza Tol Lebuh Raya Seremban-Port Dickson di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, insiden yang berlaku pada 7.10 malam itu dipercayai berpunca daripada masalah brek.

“Pemandu dan tiga penumpang mengalami kecederaan parah, lapan penumpang cedera ringan manakala dua lagi tidak mengalami kecederaan,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori itu, yang dipandu oleh seorang anggota tentera berusia 25 tahun, sedang bergerak di lorong paling kiri ketika dipercayai mengalami kerosakan brek dan hilang kawalan sebelum merempuh tembok tersebut.

Ketika kejadian, lori itu dalam perjalanan dari Markas 1 Kompeni Angkut Kem Si Rusa di Port Dickson menghala ke Terminal One, Seremban.


“Kesemua parajurit baru menamatkan latihan asas ketenteraan dan dihantar ke Terminal One, Seremban untuk mereka pulang bercuti,” katanya sambil menambah mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

(Visited 91 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button