fbpx
Uncategorized

Malaysia dalam keadaan baik – Dr Mahathir

KETIDAKPUASAN hati dalam kalangan orang ramai terhadap kerajaan berlaku kerana kerajaan tidak terlalu bagus dalam menceritakan apa yang telah dilakukannya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain kemajuan dalam bidang ekonomi, Dr Mahathir menegaskan bahawa pencapaian juga harus dinilai atas kestabilan, keamanan negara dan komitmen untuk mematuhi undang-undang.

“Jika anda mempunyai sebuah negara stabil seperti ini, aman dan mematuhi undang-undang, itu adalah pencapaian yang hebat.

Selain daripada kemajuan kita dalam bidang ekonomi dan dalam bidang sosial, usaha kita sekarang ialah untuk mengurangkan jurang perbezaan dan semua masalah yang kita hadapi di negara ini,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas tinjauan Merdeka Centre yang mendapati 61 peratus rakyat Malaysia percaya yang negara ini menuju ke arah yang salah sementara hanya 26 peratus merasakan ia bergerak di landasan yang betul.


Perkara-perkara ekonomi adalah kebimbangan terbesar yang dihadapi oleh rakyat Malaysia, diikuti oleh kepimpinan, pentadbiran, politik dan isu perkauman.

Dr Mahathir berkata walaupun kerajaan dibentuk melalui pakatan yang terdiri daripada empat parti politik ditambah Parti Warisan Sabah, kabinet masih berfungsi dan mampu membuat keputusan.

“Sila ingat bahawa negara ini sangat bertuah kerana apabila terdapat perubahan kerajaan, tiada apa yang berlaku. Semuanya berjalan lancar, “katanya.

Walaupun ketidakstabilan dan kekecohan berlaku di negara lain di seluruh dunia, Dr Mahathir berkata Malaysia masih aman tanpa pertempuran atau demonstrasi di jalanan.

Ditanya mengenai kekecewaan orang ramai terhadap laporan baru-baru ini tentang kereta mewah asing digunakan sebagai kereta rasmi untuk menteri, Dr Mahathir berkata tiada kerajaan yang terselamat daripada dikritik.

Secara berseloroh Dr Mahathir “Perkara terbaik ialah dalam pembangkang. Pembangkang (bekas) telah menikmati 60 tahun mengkritik kerajaan dan pembangkang itu kini memerintah kerajaan, jadi ia kini menerima sedikit ubatnya sendiri.”

Dalam nada lain, Dr Mahathir menyifatkan pembunuhan Jeneral Iran Qasem Soleimani dalam serangan dron baru-baru ini sebagai perbuatan tidak bermoral.

Beliau juga berkata adalah penting bagi negara-negara Islam untuk bersama-sama menolak perbuatan tidak bermoral itu.

Ketika ditanya sama ada beliau akan menyuarakan pendapatnya tentang isu antarabangsa, Dr Mahathir berkata: “Saya akan bercakap benar. Saya tidak peduli sama ada anda berkuasa atau tidak, jika anda melakukan sesuatu yang salah, saya fikir saya ada hak untuk menyatakan pendapat saya. ” – BERNAMA

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button