Rencah Hidup

Bersatu Segambut selar kedai punggah daging babi secara terbuka

KOMUNITI perniagaan terutama pemilik restoran muslim di kawasan Taman Tun Dr Ismail tidak selesa dengan tindakan sebuah kedai menjual daging beku yang memunggah daging babi dari atas lori untuk dibawa masuk ke dalam kedai pada waktu siang dan secara terbuka.

Mahathir

Ketua Bersatu Bahagian Segambut Mahathir Mohd Rais berkata, tindakan premis penjualan daging sejuk beku itu menyebabkan rasa tidak selesa kepada pengusaha kedai makan muslim yang terletak di sebelah premis berkenaan.

Menurut Mahathir, pihaknya telah menyiasat kejadian tersebut dan mempunyai bukti dalam bentuk gambar dan video.

“Bersatu Bahagian Segambut mengecam dan menyelar sekeras-kerasnya tindakan proses pengurusan dan pemindahan daging babi yang dilakukan secara terbuka yang telah menyebabkan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk setempat oleh pemilik sebuah premis penjualan daging sejuk beku di kawasan Taman Tun Dr Ismail.

“Tindakan pemilik premis daging sejuk beku tersebut tidak memikirkan sensitiviti umat Islam yang membeli makanan di kedai muslim yang yang terletak hanya kira-kira lima meter dari premis terbabit,” katanya kepada Suara Merdeka.

Tambahnya, kawasan pemungahan dan pemindahan daging babi tersebut juga menjadi laluan orang ramai.

Mahathir mendakwa, keberadaan premis daging yang terletak bersebelahan kedai makan Islam turut menimbulkan persoalan kerana kawasan tersebut merupakan lokasi hotspot yang kebiasaannya dikunjungi oleh masyarakat beragama Islam.

Tambah Mahathir, beliau telah memanjangkan isu tersebut kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang kemudian memintanya untuk membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Bersatu Bahagian Segambut menggesa semua pihak yang berkepentingan termasuk semua agensi-agensi kerajaan untuk terus berkolaborasi agar lebih cakna mengenai isu sebegini.

“Kita turut mencadangkan agar pihak berwajib DBKL dapat memperketatkan syarat pemberian lesen dan dapat mengambil tindakan tegas akan perkara ini bagi memastikan mana-mana pemilik premis daging sejuk beku di Wilayah Persekutuan tidak melanggar mana-mana peraturan pengurusan daging yang dibenarkan,” katanya.-SM

 

 

(Visited 523 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button