Nasional

Beri kepercayaan kepada pasukan Jihad tangani inflasi – Mohd. Fuad Tukirin

Wartawan Suara Merdeka

MUAR 2 Julai – Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dianggotai Jemaah Menteri perlu diberi sokongan dan kepercayaan semua pihak kata Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Mohd. Fuad Tukirin.

Menurutnya, penubuhan pasukan itu membuktikan kerajaan tidak mengamalkan sikap lepas tangan dalam menyelesaikan isu rakyat yang kian mendesak.

Menurutnya, penubuhan pasukan itu yang diterajui Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa itu adalah satu pendekatan rentas kementerian yang holistik dirumuskan kerajaan dan memastikan rakyat memahami situasi yang sedang melanda negara ketika ini.

Katanya, ramai yang tidak sedar bagaimana kerajaan menjalankan peranan mereka dalam mengurangkan impak inflasi kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning menjelaskan, tindakan yang dilakukan pasukan ini kalau dilihat tindakannya sama sepertimana kita menangani paska COVID-19.

“Kerajaan membuat pengumuman setiap kali mesyuarat diadakan untuk maklumkan kepada rakyat apakah tindakan yang perlu diambil bagi mengatasi masalah inflasi dan rakyat juga dapat turut membantu.

“Pasukan petugas ini juga akan mendengar pandangan dan rungutan pengguna serta input daripada kumpulan pengguna,” katanya.

Mohd. Fuad berkata, langkah menubuhkan pasukan itu juga membolehkan kerajaan memulihkan ekonomi dengan mendalami kelemahan pasaran.

Sehubungan itu beliau berharap pasukan khas yang ditubuhkan Rabu lepas itu dapat menyusun strategi dan menyelaraskan tindakan untuk menyelesaikan isu berkaitan inflasi khususnya dalam mengawal kenaikan harga barang dengan lebih berkesan.

Katanya, perkara itu dapat dicapai melalui penguatkuasaan yang lebih jitu dalam mencegah salah laku peniaga dan melihat kepada kesan domino akibat kenaikan harga barang serta menyelesaikan masalah rantaian bekalan barangan.

Beliau memberi saranan kepada pasukan itu supaya mengkaji semula subsidi bersasar seperti yang dilakukan oleh kebanyakan negara maju untuk mengurangkan beban rakyat.

“Pasukan itu perlu mengkaji semula pelaksanaan dan peruntukan subsidi rawak seperti yang kerajaan berikan terhadap petrol, selain dapat jimatkan perbelanjaan kerajaan serta dapat memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat di negara ini,” katanya.

Mohd Fuad turut menyarankan agar kerajaan mewujudkan kad pembelian khususnya untuk barangan terkesan seperti beras, minyak masak dan sebagainya.

Katanya, kad pembelian itu adalah langkah yang terbaik supaya kerajaan dapat mengurangkan perbelanjaan negara dan sebaliknya memberikan bantuan yang lebih bersasar kepada golongan yang memerlukan.

Terdahulu, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ditubuhkan bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan yang dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa itu berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai.

(Visited 439 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button