Nasional

Muhyiddin Benarkan Rakyat Keluarkan i-Citra & i-Sinar, Takkan Kali Ini Tak Boleh?

Petisyen ditandatangani secara dalam talian oleh 108,000 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menuntut dibenarkan mengeluarkan wang caruman masing-masing, akan diserahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, petisyen ini atas inisiatif Azmi Mohd Tahir dengan bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan akan diserahkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional, secepat mungkin.

Beliau berkata, pada hakikatnya, KWSP adalah dana yang dimiliki pencarum dan mereka mahu mengeluarkan duit sendiri dari tabungan tersebut.

Beliau mengakui matlamat di pihak kerajaan yang tidak mahu pencarum KWSP mengalami kesusahan kerana tabungan tidak mencukupi apabila tiba tempoh persaraan kelak.

“Tetapi pencarum kata, kita juga tidak tahu boleh hidup atau tidak, sehingga tarikh persaraan sebab keperluan itu adalah sekarang.


“Saya faham, ini bukan suatu perkara yang mudah untuk dibuat keputusan. Tetapi yang penting suara daripada rakyat ini didengari. Kini juga kena berpegang dengan kesedaran bahawa rakyat bukan budak-budak. Mereka pun tahu merancang.

“Ditambah dengan dua tahun kesukaran hidup ini, saya yakin ada kesedaran dan peningkatan dari segi pengetahuan dalam diri masyarakat bagaimana untuk menguruskan kewangan diri sendiri dan keluarga.

“Di samping kita usahakan bantuan kebajikan, ini adalah dana yang dimilik pencarum sendiri,” katanya hari ini.

Kata Wan Saiful, kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Muhyiddin sebelum ini telah dua kali membenarkan caruman KWSP dikeluarkan melalui inisiatif i-Citra dan i-Sinar.

“Perikatan Nasional tidak berlakon seolah-olah cakna nasib rakyat seperti beberapa orang dalam UMNO. Kerajaan Perikatan Nasional terus melakukannya demi keprihatinan terhadap rakyat,” katanya.

Justeru, beliau berjanji kepada Azmi yang mengemukakan hasrat bersama suara 108,000 pencarum lain; akan membawa petisyen kepada Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan lain-lain menteri Perikatan Nasional dalam Kabinet supaya dipertimbangkan sebagai satu inisiatif untuk diangkat kepada kerajaan.

“Sebagai Pengerusi MPN, ada perkara-perkara yang beliau boleh lakukan dalam rangka memastikan nasib rakyat dibela dalam era pemulihan ekonomi dan penjagaan kebajikan rakyat ini,” katanya.

(Visited 216 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button