fbpx
Ekonomi

Benarkan PKS tangguh bayaran cukai hingga Disember – MICPA, MARC

KERAJAAN digesa mempertimbang untuk membenarkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menangguhkan pembayaran ansuran cukai pendapatan sehingga Disember ini berbanding hanya tiga bulan yang akan berakhir pada 1 Jun ini.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) dan Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) berkata susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, banyak PKS yang sebaliknya berdepan tindakan muflis berikutan aliran tunai dan perolehan yang terus susut manakala perbelanjaan pula semakin meningkat.

“Oleh itu, kami berpendapat kerajaan sepatutnya mempertimbang untuk melanjutkan penangguhan bayaran itu sehingga Disember 2020. Ini kerana impak rantaian bekalan yang terjejas akan dirasai untuk tempoh lama walaupun selepas berakhirnya penularan COVID-19,” kata kedua-dua badan itu dalam kenyataan media bertajuk ‘Mengurangkan Impak COVID-19 : Perkara Yang Boleh Dijadikan Pengajaran.

Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan pada 27 Mac lepas, kerajaan membenarkan semua PKS menangguhkan bayaran ansuran cukai pendapatan selama tiga bulan bermula 1 April, 2020.

Langkah itu sebagai tambahan kepada penangguhan sama diberikan kepada perniagaan sektor pelancongan yang terjejas bagi tempoh enam bulan bermula pada tarikh tersebut.

Selain itu, MICPA dan MARC juga berpendapat, adalah penting untuk kalangan institusi kewangan seperti bank-bank dan institusi pembangunan kewangan turut sama tampil membantu pada saat-saat kritikal dalam sejarah ekonomi negara.

“Adalah penting bagi mereka untuk terus menyuntik dana baharu ke dalam ekonomi dan menyokong aktiviti ekonomi menerusi kemudahan pinjaman kepada perniagaan yang berpotensi.

“Jika tidak, ribuan perniagaan akan gagal dan ini memberi implikasi serius terhadap sistem kewangan, ekonomi dan pasaran buruh. Malah, sebarang peningkatan perniagaan yang gagal ini boleh mencetuskan masalah sosial pada skala besar,” kata dua badan tersebut. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button
error: Isi kandungan ini di lindungi dari Copy & Paste !!