Ekonomi

NMMB pacu usaha penjenamaan PKS tempatan

STRATEGI Penjenamaan merupakan salah satu komponen yang penting bagi perniagaan membina keyakinan terhadap sesebuah produk atau servis dalam kalangan pengguna. Penjenamaan adalah penting bagi sesebuah syarikat tanpa mengira saiznya dan ini termasuklah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Mengambil kira bahawa Malaysia adalah sesebuah negara yang bergantung kepada eksport bagi memacu pertumbuhan ekonominya, kerajaan juga sentiasa giat melaksanakan pelbagai kempen untuk mempromosikan barangan dan perkhidmatan tempatan di pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy

Bagi memenuhi aspirasi kerajaan Malaysia, SME Corp. Malaysia (SMECorp) yang merupakan salah satu agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskan program pembangunan bagi PKS juga telah melancarkan program National Mark of Malaysian Brand (NMMB) sejak tahun 2009.

“Pensijilan NMMB ini adalah bertujuan untuk melambangkan kualiti, kecemerlangan dan keunggulan produk dan perkhidmatan syarikat Malaysia, di samping mengubah tanggapan bahawa produk PKS adalah berkualiti rendah, kurang keutuhan dengan piawaian produk atau perkhidmatan yang rendah berbanding jenama besar, kata Rizal Nainy, Ketua Pengawai Eksekutif SMECorp.

Sebanyak 182 syarikat telah diikitiraf di seluruh negara sejak program ini dilaksanakan lebih sedekad yang lalu. Antara syarikat-syarikat yang telah menerima pensijilan NMMB adalah seperti Hexa Food Sdn Bhd yang membawa jenama HEXA, Hana Medic Sdn Bhd dengan jenama SAFER dan Yakin Sedap Sdn Bhd dengan jenama YAKIN.

Selaras dengan halatuju NMMB, syarikat yang membawa tanda dagangan ini adalah syarikat ‘export ready’ dengan produk dan perkhidmatan setanding dengan piawaian antarabangsa. Kebanyakan penerima pensijilan NMMB sudah pun menembusi pasaran eksport, seperti Dewina Food Sdn Bhd, Seasoning Specialties Sdn Bhd, Safetyware Sdn Bhd, dan Tanamera Tropical Spa Sdn Bhd.

Terdapat beberapa elemen yang membawa kepada kejayaan eksport syarikat, contohnya, pelan eksport yang kukuh, kapasiti dan keupayaan, harga, pengalaman serta pemasaran dan penjenamaan. Program NMMB ini dilihat sebagai pelengkap kepada inisiatif eksport khususnya untuk membina kepercayaan dan keyakinan terhadap produk dan perkhidmatan Buatan Malaysia.

Menyedari hakikat bahawa terdapat permohonan PKS ditolak kerana tidak mematuhi pra syarat yang telah ditetapkan, Rizal berkata pihak SMECorp sentiasa berusaha untuk membantu PKS yang terjejas melalui sesi capaian dan bengkel di mana interaksi yang lebih berkesan berhubung pengurusan kualiti dan penjenamaan dapat dilakukan.

Sesi-sesi tersebut adalah memberi fokus kepada perkongsian maklumat dan panudan untuk membangunkan dan meningkatkan kualiti dan penjenamaan di samping meningkatkan pengetahuan PKS mengenai keperluan, isu dan cabaran dalam pasaran global, kualiti, piawaian dan amalan pengurusan terbaik bantuan-bantuan kewangan yang boleh membantu syarikat berdaya saing.

 “Perkongsian pengalaman oleh syarikat PKS yang telah berjaya memanfaatkan persijilan NMMB ini juga diharapkan dapat memberi inspirasi kepada PKS lain yang berminat untuk menyertainya,” tambah Rizal.

Untuk pengetahuan, semua PKS yang memohon persijilan tersebut akan dinilai melalui piawaian yang teliti, di mana langkah-langkah pengauditan dan pemantauan akan dilaksanakan untuk memastikan pematuhan kepada piawaian kualiti yang ditetapkan. Jika berjaya, produk atau perkhidmatan tersebut akan diberi hak untuk mempamerkan lambang NMMB untuk tempoh dua tahun. 

Seterusnya, syarikat PKS yang mendapat sijil NMMB juga berpeluang menikmati pelbagai kemudahan SMECorp seperti insentif kewangan dan inisiatif peluang pasaran yang lebih luas, keutamaan akses kepada aktiviti promosi perdagangan tempatan dan antarabangsa, keutamaan tawaran mengikuti latihan pembangunan dan bengkel anjuran SMECorp dan rakan strategik dari dalam dan luar negara serta promosi dan liputan media.

Peserta Seminar National Mark of Malaysian Brand, ‘Jenama Malaysia ke Pasaran Global’

Logo NMMB juga telah diterima secara global di 10 negara iaitu Australia, Benelux (Belgium, Netherland & Luxembourg), Hong Kong, India, Jepun, Republik Korea, Republik China, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat dan kini diperluaskan ke 24 negara termasuklah negara anggota FTA di bawah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perancis, Georgia, Jerman, Hungary, India, Itali, Mexico, Rusia, Turki dan United Kingdom.

Bagi maklumat lanjut mengenai NMMB, sila layari National Mark of Malaysian Brand.

Artikel berkaitan > Anugerah E50 bantu usaha penjenamaan Perusahaan Kecil dan Sederhana – SME Corp

(Visited 290 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button