Ekonomi

SME Bank rangkul Anugerah Agensi Terbaik LICTA 2021

USAHA dan peranan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) membangunkan perusahaan kecil sederhana (PKS) diiktiraf apabila menerima Anugerah Agensi Terbaik Pembangunan PKS pada Majlis Malam Gala dan Penganugerahan Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) 2021.

LICTA merupakan proses pengiktirafan bagi mengenal pasti pencapaian sebenar sesebuah organisasi, perusahaan dan usahawan yang cemerlang, tulen dan dipercayai. Anugerah ini mengiktiraf sumbangan besar SME Bank dalam menerajui Penciptaan Nilai Ekosistem PKS di Malaysia.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dato’ (Dr.) Aria Putera Ismail berkata, “SME Bank menghargai pengiktirafan ini kerana ia membuktikan kami telah berjaya membawa pembangunan PKS ke satu tanda aras yang lebih tinggi. Pengiktirafan ini juga menunjukkan usaha SME Bank dalam membangunkan usahawan PKS telah memberi impak dan kesan positif kepada perkembangan ekonomi negara.”

Aria menambah, “Sejak penubuhannya pada tahun 2005 dan sehingga kini, SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai lebih daripada RM39 bilion kepada hampir 22,000 usahawan PKS.

Untuk tahun 2021, SME Bank telah meluluskan lebih RM400 juta daripada pakej rangsangan PENJANA yang diumumkan Kerajaan yang merangkumi Skim SME Go, Geran Padanan PEMERKASA dan Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PTF) untuk membantu PKS yang terjejas, manakala untuk Kemudahan Bantuan & Pemulihan Sasaran (TRRF) di bawah inisiatif Bank Negara Malaysia, SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai RM150 juta kepada pelanggan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.”

Selain menyediakan bantuan kewangan, SME Bank mengamalkan konsep melangkaui pembiayaan dalam memenuhi mandatnya untuk membimbing dan membangunkan PKS melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu Centre For Entrepreneur Development And Research Sdn. Bhd. atau CEDAR. Sehingga kini, CEDAR telah menjalankan lebih 3,515 sesi latihan yang melibatkan hampir 69,000 peserta.

Selaras dengan usaha global dalam memastikan kemampanan perniagaan, SME Bank kini telah membangunkan Rangka Kerja Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digunakan sebagai garis panduan untuk mencapai matlamat kemampanannya dengan menggabungkan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi perniagaannya.

Secara keseluruhannya, perjalanan kemampanan SME Bank dilaksanakan melalui Pelan Hala Tuju Kemampanan 3-tahun SME Bank (2021-2023) berdasarkan tiga tonggak utama iaitu Perbankan Bertanggungjawab, Amalan Perniagaan Bertanggungjawab dan Mencipta Impak Sosial. Selain itu, agenda kemampanan SME Bank juga selaras dengan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi (PMF) Bank Negara Malaysia. SME Bank menyasarkan untuk meluluskan pembiayaan berkaitan ESG sebanyak RM1 bilion pada tahun ini.

SME Bank akan terus menyokong usahawan melalui pelbagai program pembiayaan sedia ada yang telah diamanahkan oleh Kerajaan dalam membangunkan usahawan PKS.

Ini termasuklah inisiatif tanggungjawab sosial korporat SME Bank untuk memperkasa perniagaan mikro golongan Asnaf   dan   B40   telah    menunjukkan    impak    positif    apabila    peserta    Program Penjana Komuniti@SME Bank dan ISHRAF berjaya mencatatkan RM5.15 juta hasil jualan pada 2021. Kedua-dua program ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa selepas memenangi anugerah daripada ‘Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific’ (ADFIAP).

Majlis anugerah LICTA ini telah berlangsung di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur dan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar. – SM

Artikel berkaitan > SME Bank terbit satu lagi Sukuk Kelestarian

 

(Visited 309 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button