fbpx
Ekonomi

FATA gesa IATA selesaikan isu bayaran balik tiket penerbangan

PERSEKUTUAN Persatuan Pelancongan ASEAN (FATA) menggesa Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) supaya menyelesaikan isu bayaran balik tiket berikutan pembatalan penerbangan susulan pandemik COVID-19.

Presiden FATA Datuk Tan Kok Liang berkata syarikat penerbangan perlu mengutamakan pembayaran balik berbanding mengeluarkan baucar yang bernilai rendah atau langsung tiada nilai apabila ia ditunaikan.

“Agensi-agensi pelancongan menyedari kesulitan kewangan industri penerbangan pada masa ini. Namun, kami juga mengharapkan hak-hak ejen pelancongan juga dihormati.

“Lebih-lebih lagi, kepada pelanggan kami yang telah mengamanahkan wang mereka kepada syarikat penerbangan melalui agensi pelancongan. Oleh kerana perkhidmatan kini dihentikan akibat keadaan semasa, adalah wajar untuk mengembalikan bayaran yang telah diambil daripada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru, FATA menggesa IATA mendesak syarikat penerbangan memproses bayaran balik mengikut undang-undang negara-negara ASEAN masing-masing termasuk penyelesaian yang telah ditetapkan IATA terhadap ejen-ejen pelancongan.


Tan berkata FATA bersedia mengadakan perbincangan secara terbuka bersama negara-negara Majlis Bersama Program Agensi (APJC) atau menerusi Majlis Bersama Global Program Penumpang Agensi (PAPGJC) untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera.

Katanya IATA baru-baru ini menganggarkan nilai liabiliti industri di rantau ini adalah sebanyak US$35 bilion dan menyatakan keperluan utama syarikat penerbangan pada ketika ini adalah mengekalkan aliran tunai untuk membayar gaji pekerja dan kos tetap mereka.

“Walaupun kami turut bersimpati, kami tetap merasakan mengambil deposit untuk perkhidmatan pada masa hadapan dan kegagalan membayar balik menunjukkan pengurusan kewangan yang lemah. Deposit para pelanggan sepatutnya diletakkan dalam akaun khas atau akaun amanah sehingga perkhidmatan diberikan.

“FATA juga menyeru kerajaan di seluruh dunia supaya menyediakan sumber dan bantuan kewangan kepada industri penerbangan dan pelancongan kerana ia penting bagi memudahkan pemulihan industri,” tambah Tan.

FATA, adalah badan penyelaras bagi persatuan pelancongan negara-negara di rantau ASEAN. Jumlah gabungan ejen pelancongan di bawah FATA melebihi 7,700 yang memberi khidmat kepada lebih 622 juta penduduk di ASEAN. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button