Ekonomi

Anugerah E50 bantu usaha penjenamaan Perusahaan Kecil dan Sederhana – SME Corp

PANDEMIK Covid-19 telah memberi kesan yang besar kepada ekonomi Malaysia sejak tahun 2020. Pelbagai sektor telah terjejas akibat pelbagai tindakan pencegahan yang diambil seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak tersebut. Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) turut menjadi mangsa kepada pandemik ini di mana sebanyak 150,000 perniagaan terpaksa gulung tikar setakat tahun 2021.

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, SME Corporation Malaysia (SME Corp) yang berperanan sebagai agensi penyelaras pusat bagi PKS telah melancarkan pelbagai inisiatif supaya sektor yang kian terkesan akibat pandemik tersebut dapat dirancakkan semula. Salah satu inisiatif yang telah dilakukan adalah melalui penganjuran Anugerah Enterpris 50 (E50) pada bulan November akan datang.

Sejak tahun 1997, anugerah ini telah mempamerkan kejayaan perniagaan Malaysia secara berkesan dan mempromosikan “Jenama Malaysia“di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang termasuklah makanan dan minuman, ICT, produk perubatan dan penjagaan diri, minyak dan gas, peranti perubatan, logistik, fesyen serta industri lain.

Pengerusi SME Corp Malaysia Dato’ Sri Syed Hussien Al Habshee ketika berucap di Program Capaian Enterprise 50 (E50) di Pulau Pinang baru-baru ini

Keberkesanan E50 dalam membantu usaha penjenamaan memang tidak dapat dinafikan dan ini diakui oleh pemenang-pemenang anugerah pada tahun sebelumnya yang berkata penganugerahan tersebut telah memberi impak positif kepada bisnes mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Bin Nainy mengulas bahawa anugerah ini adalah penting dalam usaha pembangunan PKS dari segi pembangunan kapasiti, fasilitasi kewangan, serta rantaian dan jaringan perniagaan baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

“Sehingga kini, SME Corp telah melahirkan seramai 725 penerima Anugerah E50 yang antara lain telah berjaya memasuki penyenaraian awam serta meluaskan pasaran di dalam dan luar negara. SME Corp akan terus memberikan sokongan kepada alumni E50 dan ahli E50 baru yang berpotensi”, tambah Rizal.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Encik Rizal Bin Nainy di Program Capaian Enterprise 50 (E50) di Johor Bharu baru-baru ini.

Jelas Rizal, setelah hampir 2 tahun anugerah ini tidak dapat dianjurkan, ianya kembali dengan inisiatif-inisiatif baru dengan kerjasama rakan-rakan strategik seperti Deloitte, RHB, MIDF, SME Bank, UOB, RAM, Media Prima dan Malaysia SME, di dalam membantu alumni E50 terutamanya yang terjejas dengan Covid-19 untuk bangkit semula.

Penerima Anugerah E50 berpeluang mendapat peluang menyertai sesi pemadanan perniagaan anjuran SME Corp, menyertai bengkel dan forum antarabangsa atas jemputan SME Corp, menjalinkan hubungan dan interaksi perniagaan bersama syarikat-syarikat besar dan multinasional di serata dunia.

“Kemenangan E50 pada tahun 2012 telah memberi dorongan kepada kita supaya melakukan lebih banyak usaha penjenamaan,” kata Nicole Chua, Pengarah Urusan Jualan dan Komersial Sydey Cake House.

Tambah Nicole, E50 juga membolehkan pengilang makanan sejuk beku tersebut untuk memberi penekanan kepada aspek-aspek yang dinilai oleh SME Corp, seterusnya menambahbaik mereka melalui beberapa langkah seperti pendigitalan, automasi, inovasi dan kreativiti sehingga hari ini.

Bagi IDEALCARE Group, anugerah E50 juga membantu dalam usaha mengurangkan stigma terhadap jenama tempatan. Pengarah Urusan, Mohd Heerman bin Haminnuddin berkata kemenangan mereka pada tahun 2019 telah meletakkan IDEALCARE Group di peringkat yang lebih tinggi berbanding dengan jenama-jenama yang lain.

Anugerah E50 Memacu PKS Malaysia ke arah kecemerlangan global

“Dengan E50, orang akan sedar bahawa syarikat tersebut telah melalui proses penilaian yang terperinci yang seterusnya menjadikan ia suatu jenama yang boleh dipercayai dan berkualiti tinggi,” kata Heerman.

Tempoh pencalonan E50 telah bermula sejak 1 Mac 2022 dan para pemenang akan diumumkan pada November 2022. Untuk menyertai anugerah tersebut, sesebuah syarikat perlu:

  • Memenuhi definisi PKS dengan sekurang-kurangnya 40% ekuiti tempatan;
  • Perlu mendapat penarafan 4 bintang ke atas dalam program SCORE;
  • Tidak tersenarai di mana-mana papan utama;
  • Terbuka kepada syarikat induk atau anak syarikat. Anak syarikat tidak layak sekiranya syarikat induk telah mengambil bahagian; dan
  • Mempunyai rekod kewangan yang telah diaudit selama 3 tahun.

Untuk maklumat lanjut mengenai E50, sila layari laman sesawang rasmi Anugerah Enterpris 50 (E50) atau hubungi 1300 30 6000. – SM

 

(Visited 283 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button