Bola SepakSukan

Dua syarat jika mahu potong gaji pemain

PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) meletakkan dua syarat jika cadangan pemotongan gaji ke atas pemain seperti digariskan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) diguna pakai.

Kenyataan PFAM hari ini menyebut bahawa syarat itu perlu dipenuhi bagi mengelak sebarang prejudis selain memastikan hak setiap yang terbabit dilindungi.

Syarat dikenakan PFAM ialah pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji sebelum pandemik COVID-19 bermula wajib menyelesaikan tunggakan gaji terlebih dahulu, di samping rundingan dan persetujuan perlu dibuat secara individu dan bukan dilakukan secara ‘pukul rata.’

“Ini memandangkan setiap pemain mempunyai nilai gaji dan keperluan berbeza, maka selayaknya (mereka) bersetuju atas nilai pemotongan yang berbeza.

“Ia juga bagi memastikan setiap pemain mendapat hak yang sama, untuk berunding terus bersama majikan dan seterusnya bersetuju dengan kadar yang pemain sendiri rasa adil untuknya. Sepertimana rundingan nilai gaji dilakukan,” menurut PFAM.

Selasa lepas, FIFA mengeluarkan pekeliling bertajuk Isu Terhadap Peraturan Bola Sepak FIFA COVID-19 yang mengandungi empat perkara utama, antaranya mengenai Perjanjian Yang Tidak Dapat Dilaksanakan Seperti Dijangkakan dan Tempoh Pendaftaran melibatkan jendela perpindahan pemain.

Di bawah Perjanjian Yang Tidak Dapat Dilaksanakan Seperti Dijangkakan, FIFA mengeluarkan prinsip bimbingan yang menggalakkan kelab dan pemain untuk membuka jalan kepada rundingan dalam mencari kata sepakat sepanjang krisis ini, termasuk cadangan penstrukturan penggajian sementara.

Justeru, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap perjanjian bersama antara pasukan dan pemain serta pegawai perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya 22 April depan namun ia boleh dirujuk kepada FAM sekiranya perjanjian bersama gagal dicapai sehingga tarikh tersebut.

Mengulas lanjut, PFAM menegaskan bahawa segala unsur niat jahat seperti paksaan, pengaruh tidak wajar, representasi yang salah dan penipuan, tidak akan menerima sebarang toleransi daripada pemain.

“Sekiranya wujud perkara seperti itu ketika rundingan berlaku, PFAM menggesa tindakan lebih tegas diambil oleh pihak FAM dan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dengan segera.

“PFAM tidak mempunyai sebarang niat untuk tidak memberikan kerjasama kepada pasukan, MFL mahupun FAM,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, PFAM tidak bersetuju dengan cadangan pemotongan gaji susulan penularan wabak COVID-19 yang menyebabkan perlawanan Liga Malaysia 2020 terpaksa ditunda bermula 16 Mac. – BERNAMA

(Visited 127 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button