Belang Bertempat

Belanjwawan 2023 Jumaat ini: Kelompok yang sama juga beruntung!

BELAJAWAN 2023 yang dibentangkan tahun lepas oleh bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz ketika kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak dapat dilaksanakan.

Istilahnya, Belanjawan 2023 itu ‘beku’ kerana perubahan kerajaan dan kepimpinan perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022.

Belanjawan tergantung atau ‘hanging budget’ yang diperkatakan itu, tidak diterima sepenuhnya kerana tidak wujud istilah bajet tergantung.

TENGKU ZAFRUL bentang Belanjawan 2023 di Parlimen tahun lepas, bulan Oktober. Jumaat ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bentangkan.

Pada Jumaat ini, kemungkinan besar, seperti biasa, selepas waktu solat Jumaat, Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Bajet. Bajet 2024 kah atau Bajet 2023 yang tidak dilaksanakan? Kita tunggu.

Setiap kali, setiap tahun pembentangan bajet, yang bertepuk bersorak ialah kakitangan awam. Pesara kerajaan juga boleh join menari ala Pak Maun kerana golongan ini ‘prioritas’ dan diberikan habuan itu peningkatan duit ini.

Mereka yang tergolong dalam kelompok petani, peladang, nelayan, pesawah, penoreh getah (kata orang biasa) juga diberikan macam-macam bantuan dan subsidi oleh kerajaan.

PENGAMAL media tempatan…wartawan… jurufoto, jurugambar tukang tulis. Nasib pengamal media, tidak dipandang dan tidak pernah ada perubahan. Sama seperti hidup di bandar besar dalam serba kekurangan dan kemiskinan. Siapa kisah? – GAMBAR HIASAN

Tak kisahlah kerajaan mana… Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Kerajaan Perikatan Nasional dan terkini, Kerajaan Perpaduan, semua mahukan faedah atau benefit daripada pembentangan bajet.

Mereka yang duduk dalam pasukan beruniform seperti Polis, Tentera, Pegawai atau warden penjara, jururawat dan RELA juga dapat benefit. Adalah untuk golongan ini.

Miskin di kampung, luar bandar, Sabar dan Sarawak, itu memang bukan dianaktirikan, bukan sekadar dendangan tetapi ada peruntukan untuk mereka ini.

Yang tak ada benefit, yang tidak nampak, tidak dipandang untung nasib ialah golongan pengamal media tempatan.

Kerja kami, tukang tulis, tukang bagitau apa yang rakyat semua dapat. Sedangkan pengamal media, kena buang kerja kerana syarikat gulung tikar,  pun sampai ke hari ini, nak hidup, pandai-pandailah kamu!

Wartawan tempatan, gaji pun tak besar mana. Kena maki hamun lebih besar berbanding gaji yang diterima. Diperlekeh-lekehkan, rationya lebih besar berbanding dihargai.

Risiko kena buang kerja hari ini, memang besar. Tak usah cakap. Ada sesiapa nampak? Menteri tengok dan teropong ke arah lain.

Percaturan bajet yang akan dibentangkan pada Jumaat ini, nampak gayanya memberi tumpuan kepada golongan M40.

Selepas golongan B40 (jangan nak katalah, pengamal media pun dalam kategori ini, B40), M40 jadi tumpuan.

Pendekatan nak bantu golongan M40 ini, kerajaan mengekalkan potongan cukai pendapatan dua mata peratusan bagi M40.

T20 pula, kenaikan cukai 0.5% seperti dicadangkan dalam belanjawan sebelum ini. Jadi, pembentangan bajet Jumaat ini nanti, kemungkinan besar tidak ada cukai baharu diperkenalkan.

Pengurangan cukai dua mata peratusan bertujuan membantu golongan M40 dengan kenaikan kos sara hidup.

Yalah dan benarlah nawaitu itu kerana selain meningkatkan pendapatan boleh guna golongan M40, kenaikan cukai ke atas golongan T20 adalah untuk menampung pengurangan kutipan hasil disebabkan potongan cukai.

Pendek kata, tolak sana, campur sini!

Harga barang mentah memang naik mencanak. Hari sekilo kerang di pasar basar atau kedai Acheh ialah RM18.

Harga sotong saiz sederhana ke besar, RM44 sekilo. Harga ketam bunga sekilo, RM34. Jadi bantu golongan M40 dalam kuasa beli mereka dan pengamal media pula, makanlah mi segera!

Untuk rekod, Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober, 2022, cukai pendapatan bagi kumpulan pendapatan bercukai antara RM50,001 hingga RM100,000 dikurangkan sebanyak dua peratus untuk tahun taksiran 2023, daripada 13% kepada 11% bagi RM50,001-RM70,000 dan daripada 21% kepada 19% untuk RM70,001 hingga RM100,000.

Cukai untuk mereka berpendapatan antara RM250,001 hingga RM400,000 dinaikkan daripada 24.5% kepada 25%.

Jumaat, kita ramai-ramai duduk di hadapan kaca televisyen, tunggu apa kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. – SM

(Visited 446 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button