Ekonomi

Airbnb gariskan undang-undang sewa inapan jangka pendek melalui inisiatif Penang Untuk Semua

 Airbnb hari ini telah menggariskan visinya untuk undang-undang penginapan sewaan jangka pendek (STRA) yang adil dan munasabah di Pulau Pinang, melalui pelancaran inisiatifnya Penang Untuk Semua.

Syarikat hospitaliti global ini amat mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri pada awal bulan Mei lalu untuk mengawal selia STRA dan menyatakannya sebagai satu langkah ke arah yang tepat.

Seruan Airbnb untuk peraturan yang adil dan munasabah dilakukan susulan data Airbnb baharu yang menunjukkan lonjakan ketara dalam minat terhadap perjalanan ke Malaysia di platform ini.

Carian tetamu domestik di Airbnb untuk penginapan di Malaysia meningkat melebihi 150 peratus tahun ke tahun pada S1 2022, manakala carian tetamu antarabangsa meningkat melebihi 140 peratus tahun ke tahun bagi tempoh yang sama. 

Destinasi paling popular di seluruh negara di kalangan para tetamu domestik dan antarabangsa ialah Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Johor Bahru, Georgetown dan Melaka.

Mich Goh, Ketua Dasar Awam Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan berkata: “Kami tahu bahawa rakyat Malaysia dan pengembara antarabangsa berminat untuk meneroka destinasi di seluruh Malaysia melalui Airbnb.

“Kami kekal komited untuk bekerjasama dengan industri pelancongan Pulau Pinang bagi memacu pemulihan ekonomi, mengembangkan pelancongan ke masa hadapan serta menyokong perniagaan dan pekerjaan tempatan.

“Kami ingin memastikan Penang Untuk Semua – supaya semua orang di Pulau Pinang boleh berkongsi manfaat industri pelancongan yang digiatkan semula. STRA telah lama menjadi penyumbang kepada ekonomi Malaysia dengan memperkasakan Hos Malaysia yang berkongsi kediaman mereka serta menawarkan pelbagai jenis penginapan yang unik dan mesra keluarga pada harga yang berbeza kepada para pengembara.

“Kami telah bertemu dengan Pejabat Majlis Eksekutif Negeri Pulau Pinang untuk Pelancongan dan Ekonomi Kreatif untuk membincangkan bagaimana Airbnb boleh terus menyokong inisiatif pelancongan negeri ini dan bahawa kami kekal komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan negeri ini dalam rangka kerja kawal selia yang berkesan yang akan membolehkan pemulihan pelancongan dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang bagi Pulau Pinang.”

Lydia Tan, Presiden Persatuan Pengusaha Inap Desa Malaysia Cawangan Pulau Pinang menambah: “Melalui pelbagai tawaran pelancongan kami yang unik, Pulau Pinang merupakan sebuah destinasi yang menarik kepada para pelancong domestik dan juga antarabangsa, termasuk pekerja jarak jauh, pengembara perniagaan dan keluarga.

“Ketersediaan semasa bagi pelbagai jenis penginapan untuk memenuhi keperluan ini telah membantu menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan. Jika aktiviti STRA dilarang, ia akan melambatkan usaha kami untuk menggiatkan semula sektor pelancongan yang telah terjejas teruk akibat gangguan yang disebabkan oleh pandemik.”

Seorang pengguna Airbnb, Nur Munirah Binti Zakaria, berkongsi: “Sebagai seorang ibu, peluang untuk bercuti dengan keluarga saya merupakan pengalaman yang sangat bermakna, terutamanya selepas sekatan COVID-19 selama dua tahun yang lalu.

“STRA ialah pilihan ideal saya yang memenuhi keperluan kemudahan dan bajet kami, terutamanya jika kami bercuti  sebagai sebuah keluarga dan menginap selama dua malam atau lebih. Sekiranya tiada pilihan penginapan mengikut kemampuan kami, kami mungkin perlu mempertimbangkan destinasi lain.”

Penginapan jangka panjang di Airbnb terus berkembang di Malaysia dan seluruh dunia.

Penginapan jangka panjang di platform ini mencapai tahap tertinggi sepanjang masa di seluruh dunia pada S1 2022, yang meningkat lebih dua kali ganda berbanding S1 2019; dan kekal mewakili hampir satu daripada setiap lima malam yang ditempah.

Hampir separuh daripada jumlah malam yang ditempah di Airbnb di seluruh dunia pada S1 2022 adalah selama seminggu atau lebih.

Pada tahun 2021, Airbnb telah melancarkan Tatakelakuannya yang mengutamakan industri di Malaysia yang merangkumi satu siri prinsip umum yang bertujuan untuk mewujudkan amalan umum di seluruh industri dan menetapkan penanda aras bagi STRA.

Airbnb turut melancarkan Talian Sokongan Kejiranan di Malaysia pada tahun lepas, dengan menyediakan saluran selama 24/7 yang mudah diakses untuk melaporkan kebimbangan mendesak tentang penyenaraian berhampiran kepada pasukan tindak balas pantas Airbnb.

(Visited 331 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button