Ekonomi

Bank Rakyat, USM perkukuh kerjasama, dukung aspirasi sama

BANK RAKYAT dan Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh kerjasama bagi mendukung aspirasi tanggungjawab sosial dalam membangunkan komuniti universiti dan masyarakat yang mampan untuk memenuhi keperluan pendidikan ‘Keluarga Malaysia’.

“Bank Rakyat dan USM berhasrat untuk merealisasikan aspirasi yang menjadi teras kepada kerjasama ini menerusi perkongsian ilmu dan kemahiran, penawaran produk dan perkhidmatan serta pendekatan konsep perniagaan kepada warga USM,” ujar Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Haji Abd Rani Lebai Jaafar semasa menghadiri Majlis Aspirasi Bank Rakyat dan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Konvokesyen Diploma Profesional Pengurusan Strategik Ar-Rahnu.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Bendahari USM, Kamarul Ariffin Ngah.

Menurut Datuk Haji Abd Rani, majlis ini dianjurkan sebagai platform untuk Bank Rakyat dan USM memperkukuh ukhuwah yang sedia terjalin demi mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dalam inisiatif kerjasama yang memanfaatkan komuniti universiti dan masyarakat sekitar seiring dengan Pelan Strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) dalam menjadikan Bank Rakyat sebagai Bank pilihan untuk majoriti institusi pengajian tinggi di Malaysia.


Tambah beliau, USM telah menjalin hubungan dengan Bank Rakyat sejak tahun 2009 menerusi produk dan perkhidmatan perbankan Islam antaranya seperti Akaun Deposit Berjangka-i, Pembiayaan-i dan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban serta Akaun Simpanan-i untuk Ibadah Umrah.

Beliau turut berkongsi bahawa Bank Rakyat bakal melancarkan Bank Rakyat UNIpreneur 2.0 dalam masa terdekat bagi memperkasakan lagi usahawan terutamanya usahawan siswa sejajar dengan usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam membangunkan ‘Keluarga Usahawan’.

Sementara itu, majlis ini turut meraikan 30 graduan Program Diploma Profesional Pengurusan Strategik Ar-Rahnu, USM yang terdiri daripada warga kerja anak syarikat Bank Rakyat yang mengendalikan perniagaan Ar-Rahnu iaitu Rakyat Management Services (RMS) serta warga kerja perkhidmatan francais Ar-Rahnu di bawah RMS iaitu Ar-Rahnu X’Change.

Program pengajian ini memberi tumpuan kepada bidang berkaitan Kewangan Islam dan Ar-Rahnu (prinsip dan amalan), Pengurusan dan Tadbir Urus, Komunikasi Perniagaan, Perakaunan untuk Membuat Keputusan dan Pemasaran Strategik.

“Kami berharap agar dapat menyediakan lebih banyak program kerjasama dengan USM pada masa hadapan dan semoga aspirasi ini dapat direalisasikan, lantas memberi impak yang jitu demi kemajuan sosial dan kemakmuran bersama,” ujar Datuk Haji Abd Rani.

Pada majlis yang sama, Bank Rakyat turut memberikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Pusat Islam Universiti Sains Malaysia bagi menyokong pembangunan aktiviti pengimarahan institusi Islam menerusi penganjuran majlis ilmu dan program yang bermanfaat untuk warga USM dan masyarakat setempat. – SM

Artikel berkaitan > Dr. Mohammad Hanis CEO baharu Bank Rakyat

(Visited 105 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button