fbpx
Politik

Azalina tolak permintaan SUA UMNO adakan sidang Parlimen segera

AHLI Parlimen UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said menolak permohohan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan untuk mengadakan Sidang Parlimen pada tarikh segera.

Azalina berkata, sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dia akan menjadi Ahli Parlimen yang paling mengutamakan dan berpegang teguh pada prinsip demokrasi berparlimen.

Walau bagaimanapun menurutnya, terdapat isu-isu perundangan yang wajar dan perlu dipertimbangkan dengan lebih mendapat sebelum dapat memberikan persetujuan kepada isu tersebut.

Lebih-lebih lagi ia turut menyentuh kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Azalina, terdapat kes-kes di mahkamah yang telah memutuskan bahawa perisytiharan Proklamasi Darurat atau pemasyhuran Ordinan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar sama sekali atas Perkara 150(8) Perlembahaan Persekutuan.


“Ia wajar ditekankan bahawa Fasal 14(1) Ordinan yang baru sahaja dimasyurkan oleh Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini memperuntukkan bahawa Parlimen hanya boleh dipanggil sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Oleh itu pada hemat saya, kebarangkalian Yang di-Pertuan Agong memanggil suatu persidangan Parlimen dalam masa terdekat ini ataupun membatalkan proklamasi dan ordinan tersebut sama sekali sangatlah tipis.

“Atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas maka dengan segala hormatnya saya menolak dan tidak bersetuju dengan permohonan persetujuan ke atas isu tersebut sepertimana yang diminta oleh YB Pontian melalui surat 18 Januari 2021,” kata Azalina dalam surat balas kepada Ahmad.

Ahmad semalam mengutuskan surat kepada semua ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional memohon kerjasama untuk mengemukakan persetujuan bagi pelaksanaan Perkara 150 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan untuk diadakan suatu sidang Parlimen pada tarikh segera.

Menurut Ahmad, susulan Proklamasi Darurat wujud kepentingan untuk membincangkan isu-isu berkaitan Ordinan Darurat khususnya berkenaan impak pelaksanaannya ke atas hak-hak ahli Parlimen serta tanggungjawab  mereka dalam memastikan demokrasi di Malaysia dipelihara.

Mereka perlu memberikan jawapan hari ini sebelum pukul 12.30 tengah hari.-SM

(Visited 100 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button