Nasional

APMM tahan kapal dagang bersauh secara haram di perairan Batu Pahat

Sebuah kapal dagang telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Batu Pahat kerana bersauh secara haram di perairan Batu Pahat malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff bin Mohd Yunus berkata, kapal dagang yang berdaftar dari Majuro itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia pada pukul 9.30 malam di kedudukan 5.6 batu nautika barat daya Tanjung Tohor setelah nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh ketika pemeriksaan.

Kapal terbabit dikendalikan oleh 19 orang kru termasuk nakhoda terdiri daripada warga Ukraine dan Filipina yang berumur diantara 27 hingga 53 tahun.

Kesemua mereka mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah. Kapal dagang itu membawa muatan beras import sebanyak 1,500 tan metrik yang dalam perjalanan dari negara China menuju ke Turkiye.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut Malaysia yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Maritim Malaysia terus komited dan ingin menegaskan kepada pemilik, pengusaha perkapalan serta nakhoda kapal supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan yang ditetapkan dipatuhi kerana tindakan akan diambil tanpa kompromi dengan mana-mana pihak dalam usaha membanteras aktiviti berlabuh secara haram ini.

Orang awam juga dinasihatkan supaya menitikberatkan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut bagi
mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

(Visited 60 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button