Nasional

Anwar tuntut siasatan bebas cari punca kelembapan peroleh vaksin Covid

KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terganggu dengan sikap Kerajaan Perikatan Nasional yang didakwa begitu lembab dalam mendapatkan vaksin untuk mengekang Covid-19.

Presiden PKR itu berkata, kerajaan Perikatan Nasional terlalu sibuk memikirkan cara untuk mengawal keseluruhan proses dari A sampai Z sehingga mengakibatkan kelengahan yang tidak sepatutnya.

Tegas beliau, kelegahan untuk mendapatkan bekalan vaksin akan mengundang padah.

Serentak itu beliau menuntut dua perkara iaitu kerajaan perlu bertindak pantas mendapatkan vaksin dan kedua satu siasatan bebas diwujudkan bagi mencari punca pemerolehan vaksin yang lembab.

“Justeru saya menuntut dua perkara. Pertamanya, kerajaan pusat mestilah bertindak pantas dan menyokong penuh usaha kerajaan negeri dan sektor swasta untuk mendapatkan perolehan terhadap vaksin yang telah diluluskan demi meningkatkan kadar kesegeraan vaksinasi.


“Keduanya, saya menuntut satu siasatan bebas dilakukan di bawah lembayung Parlimen untuk mencari punca lembabnya kadar pemerolehan vaksin yang dialami oleh kerajaan pusat, kerajaan negeri dan sektor swasta.

“Kita sepatutnya telah bersiap siaga untuk memperolehi vaksin yang berkesan sejak berbulan yang lalu. Prestasi gerak kerja kita sekarang memang tidak boleh diterima sama sekali,” kata Anwar.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, sehingga kini kurang daripada 3 peratus rakyat Malaysia yang telah mendapat suntikan vaksin untuk melawan Covid-19.

Tambah Anwar, beliau telah dimaklumkan beberapa kerajaan negeri, syarikat swasta dan yayasan telah berusaha untuk memperolehi bekalan vaksin sebagai respon terhadap kegagalan kerajaan dalam menangani pandemik ini.

Usaha tersebut bagaimanapun menemui jalan buntu kerana sering dilengahkan oleh Kementerian yang terbabit.

“Kerajaan negeri Selangor misalannya, terpaksa menunggu berbulan lamanya hanya untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan, meskipun mereka telah memperuntukkan dana sendiri untuk mendapatkan 2 juta dos buat rakyat Selangor.

“Kerajaan negeri Sarawak turut menghadapi nasib yang sama dalam mendapatkan kelulusan daripada kerajaan persekutuan.

“Saya turut mendapat aduan daripada beberapa syarikat swasta dan yayasan bahawa permintaan dan usaha mereka untuk mendapatkan vaksin tidak dihiraukan sama sekali,” kata Anwar.

Tambah Anwar, Kerajaan tidak perlu menguruskan semua proses daripada membeli sehingga menyuntik vaksin tersebut kepada rakyat.

Ini kerana setiap kerajaan negeri memiliki jaringan dan kemampuan tersendiri untuk memperolehi vaksin yang barangkali mengatasi keupayaan kerajaan pusat.-SM

 

 

(Visited 41 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button