Pena Cikgu Kamarul

Annuar Musa redah badai penyatuan atau tempah kemusnahan?

1. “Terdapat tiga orang dalam perkahwinan ini dan ia amat menyesakkan”, luah Lady Diana dengan penuh kesedihan mengenai perkahwinannya yang gagal dengan Putera Charles. Bagi sesetengah pihak, angka tiga bukanlah angka yang baik untuk membina persahabatan. Pepatah Inggeris ada mengatakan bahawa ‘two’s a company, three’s a crowd.’ Malahan pepatah Melayu juga agak negatif terhadap angka tiga dalam bidalan ‘main kayu tiga’.

2. Mungkin UMNO dan PAS tidak begitu taksub dengan angka. Di atas bahtera Muafakat Nasional, mereka memenangi tujuh Pilihanaraya kecil berturut-turut. Dengan itu, mereka mahu mencuba sesuatu yang lebih hebat apabila membentuk Perikatan Nasional untuk menubuhkan kerajaan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Ketika itulah masalah mula bertandang. Mungkin ada baiknya mereka kekal sebagai pembangkang dalam parlimen dan menumpukan perhatian untuk menewaskan PH dalam pilihanraya akan datang.

3. Secara jujur, ramai dalam kalangan parti berpandangan bahawa sebagai rakan yang mempunyai kerusi terbanyak dalam gabungan itu, UMNO perlu diberi hak yang lebih dalam perkongsian itu. Malangnya ini tidak berlaku dan ramai yang mulai menghidu ada sesuatu yang tidak kena.

4. Bukan itu saja, bagi menambah kedukaan, UMNO tidak diberi peluang untuk menamakan calonnya ke kabinet. Sebaliknya Tan Sri Muhyiddin menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri untuk memilih. Beliau telah mengetepikan pemimpin UMNO yang bertahan di masa susah lalu memilih ramai yang tewas dalam pemilihan parti dan dilihat sebagai tidak sealiran dengan pejuang UMNO sebenar. Presiden, Timbalan Presiden dan dua Naib Presiden tidak dipilih.

5. Ramai di peringkat akar umbi terkejut dan tidak puas hati. Tidak lama kemudian perbedaan menjadi amat ketara. Annuar Musa mula bercakap mengenai penyatuan Melayu dalam lingkungan yang lebih besar. Baginya jika Melayu mahu melihat penyatuan, Bersatu perlu bersama. Tindakan ini dilihat memakan diri. Ahli-ahli UMNO belum bersedia membuka pintu perpaduan kepada golongan ini. Perbalahan antara UMNO dan Bersatu dapat dilihat dalam setiap whatsApp dan fb politik. Jelas Annuar seperti tidak mengerti. Akhirnya ‘penyatuan besar’ yang diharapkan Annuar bertukar menjadi ‘perbalahan besar’.

6. Sebagai Setiausaha Agung, ramai yang mengharapkan Annuar menjadi Suara UMNO yang gah. Namun beliau dilihat lebih cenderung kepada kepentingan Bersatu. Annuar mungkin mempunyai niat yang baik. Namun sebagai pemimpin yang berpengalaman, beliau sepatutnya menyedari bahawa ramai yang tidak boleh membaca maksud tersirat dalam langkah yang cuba diambilnya.

7. Sebagai salah seorang menteri yang telah dipilih oleh Muhyiddin, ramai dalam kalangan UMNO yang mula sangsi dengan pendirian yang diambilnya. Untuk itu, Zahid tidak boleh dipersalahkan dengan tindakan yang diambilnya kerana kebanyakan persidangan tahunan UMNO Bahagian menolak kerjasama UMNO bersama Bersatu dalam PN. Zahid hanya melakukan apa yang perlu tetapi ada juga yang berasa bahawa ini bukanlah masa untuk bersengketa sesama sendiri kerana PRU dilihat semakin hampir. UMNO perlu insaf dan bermuhasabah.

8. Ini bukan juga masa untuk membuat kenyataan yang mengelirukan. Pemimpin UMNO perlu mengambil contoh baik yang ditunjukkan oleh Naib Presiden Mahdzir Khalid yang tidak suka menunjukkan kelemahan parti pada umum. Baginya perbalahan terbuka hanya merugikan parti. Segala perbedaan pandangan perlulah diselesaikan dalam mesyuarat tertutup. Ini bagi mengelakkan parti daripada terjerumus ke dalam kancah permasalahan yang besar.

9. Puteri Diana terlibat dalam kemalangan jalanraya di Paris yang meragut nyawanya pada 31 Ogos 1997. Annuar perlu bersabar dan jangan biarkan amarah menguasai dirinya. Annuar Musa adalah seorang pemimpin penting buat UMNO. Semoga beliau tidak kecundang dalam pertembungan idea yang cuba dibawanya.

(Visited 667 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button