fbpx
Luar Negara

Bekas wartawan dilantik Menteri Kewangan wanita pertama Kanada

TIMBALAN Perdana Menteri Kanada Chrystia Freeland dilantik sebagai Menteri Kewangan wanita pertama seumpamanya di negara itu.

Pelantikan dibuat sehari selepas menteri terdahulu, Bill Morneau, meletakkan jawatan berikutan skandal etika dan kemelutnya dengan Perdana Menteri, Justin Trudeau berhubung pengurusan perbelanjaan pandemik Covid-19.

Freeland, bekas wartawan yang pernah menjadi Menteri Luar Kanada akan mengekalkan tugasnya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Beliau yang berusia 52 tahun merupakan lulusan Harvard dan memiliki sarjana dari Rhodes serta boleh bertutur dalam lima bahasa.

“Saya sedar hakikat yang saya merupakan menteri kewangan wanita pertama Kanada. Sudah tiba masanya kita memecah tradisi,” katanya kepada media mengulas berhubung pelantikan itu.


“Koronavirus ini masih ada. Ini merupakan cabaran sekali seumur hidup yang menguji seluruh negara kita dan komitmen kita sebagai kerajaan untuk melakukan apa saja yang diperlukan untuk menyokong rakyat Kanada melalui tempoh getir ini,” tambahnya.

Semalam, Morneau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen pada satu sidang media.

Sejak minggu lalu, media Kanada melaporkan wujud keretakan hubungan di antara Morneau dan Trudeau dalam usaha kerajaan memulihkan semula ekonomi negara yang terjejas akibat Covid-19.

Belanjawan negara itu mengalami defisit lebih AS$257 bilion (RM1,076 bilion). – SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button