Politik

Annuar Musa dipecat?

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam memecat Tan Sri Annuar Musa kerana kesalahan mencemuh UMNO dan berkempen untuk lawan pada pilihan raya lalu.

Annuar Ketua Bahagian UMNO Ketereh dipecat bersama-sama dua ketua wanita bahagian lain iaitu Arau dan Maran.

Ahli MKT, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mendedahkan hasil mesyuarat itu berkata, ketiga-tiga mereka dikenakan tindakan disiplin itu kerana mencela parti termasuk Presiden UMNO.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan secara terperinci identiti individu berkenaan sambil menjelaskan mereka bukan dalam kalangan MKT.

“Kita minta parti bertindak tegas, kenakan tindakan disiplin kepada mereka yang bukan sahaja mencemuh parti tetapi mencemuh Presiden parti.

“Ada dipecat…ahli UMNO bukan MKT. Tiga orang…dua ketua wanita bahagian dan satu ketua bahagian kerana mencemuh parti serta berkempen (untuk pihak lawan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat MKT di Menara Dato’ Onn di sini.

Menjelaskan situasi dalam mesyuarat berkenaan, Mohd Puad berkata, nada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agak tegas berkenaan isu disiplin.

Katanya, Ahmad Zahid menegaskan tidak akan sekali berkompromi dengan ahli yang burukkan parti termasuk membocorkan inti pati mesyuarat parti kepada pihak luar.

“Satu lagi, hari ini, presiden parti agak tegas dalam isu disiplin dan beliau tidak akan berkompromi dengan mereka yang suka burukkan parti termasuk bocorkan hasil mesyuarat MKT,” katanya.

Dalam mesyuarat itu, dua naib presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak hadir.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengesahkan Ismail Sabri tidak hadir pada mesyuarat itu kerana perlu menghadiri program lain.

Namun begitu, tidak dapat dipastikan mengapa Mahdzir tidak hadir mesyuarat berkenaan.

Annuar penyandang parlimen Ketereh tidak dicalonkan pada pilihan raya lalu.

Beliau juga menolak tawaran Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di atas tiket parti berkenaan.

Annuar kini Presiden Muafakat Nasional (MN).

 

(Visited 2,082 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button