Politik

Amanah bergabung dengan DAP, berbeza Bersatu dan UMNO

PRESIDEN Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menengaskan parti UMNO dan Bersatu tidak sama seperti Pas dan Amanah. Tegas beliau ada perbezaan antara UMNO dan Bersatu serta Amanah.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, beza antara kedua-dua parti tersebut dengan Amanah adalah mereka tidak bergabung dengan DAP. Sedangkan Amanah mempunyai kerjasama dengan DAP.

“Ada orang kata UMNO dan Bersatu macam Pas dengan Amanah. Tapi pada saya tak sama. Amanah ini parti yang bergabung dengan DAP. Bersatu ini tidak. Itu kena beza,” kata Abdul Hadi di Facebooknya.

Amanah merupakan parti serpihan Pas apabila beberapa pemimpin meninggalkan parti yang memperjuangkan ideologi Islam tersebut untuk menubuhkan parti tersebut.

Manakala Bersatu pula merupakan serpihan UMNO apabila beberapa pemimpin yang dibuang daripada parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu itu menubuhkan parti berkenaan.

Abdul Hadi sebelum ini memuat naik gambar pertemuan beliau dengan dua lagi Presiden parti kerajaan, iaitu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Melalui perkongsian di laman Twitternya, Abdul Hadi berkata, ketiga-tiga parti berkenaan berjaya disatukan. Pas menurutnya tidak boleh berpisah dengan UMNO dan Bersatu.

“Kita berjaya menyatukan ketiga-tiga parti. Kita tak boleh berpisah dengan UMNO, tak boleh berpisah dengan Bersatu,” katanya.

Sebelum itu, Ahmad Zahid memaklumkan, Muhyiddin dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN)  menyatakan hasrat membawa partinya menyertai Muafakat Nasional (MN) yang dianggotai UMNO dan PAS.

Katanya, hasrat berkenaan akan dibincangkan dengan PAS dan Jawatankuasa Induk MN sebelum ini memutuskan untuk UMNO dan PAS memberi keutamaan bagi memperkukuhkan MN.-SM

(Visited 370 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button