Politik

Selamat berkhidmat Amir Selamat

ulama

BILA Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan rendah hati menyumbang sebulan gaji beliau kepada tabung Covid-19, ramai tertunggu-tunggu, apa respons ahli yang berhormat lain.

Jika sebelum ini mereka gegak gempita melaungkan perjuangan demi rakyat, pasti berbondong-bondong yang akan mendermakan pendapatan mereka yang tidak terjejas walaupun setengah sen ketika situasi pandemik ini, berbanding rakyat yang terpaksa mengikat perut untuk menghadapi hari-hari mendatang yang belum tentu nasibnya. Apakah ada lagi makanan dapat dihidang di atas meja, atau terpaksa mengemis untuk sesuap nasi.

Bagaimanapun memang sangat mengecewakan, kerja baik MB Selangor itu tidak disahut oleh mana-mana YB. Mereka lebih gemar bikin huha bagaimana negara harus ditadbir dan bukan dilaksanakan darurat yang dikatakan membunuh demokrasi apabila parlimen digantung sehingga Ogos ini.

Aku bukan menyokong parlimen digantung, tetapi benci dengan sikap YB-YB yang buat-buat bongok dengan nasib rakyat, walaupun tidak semua, tetapi kebanyakannya bersikap sedemikian.

Ada yang sibuk menaikkan gaji YB. Ada yang sibuk menukar kereta baharu dan lebih aneh ada yang sibuk membina dewan dan bukannya membina hospital khas untuk pandemik ini seperti di negara lain.

Puluhan juta diperuntukkan untuk membina tiga dewan, kononnya juga untuk orang ramai, sedangkan dewan yang sedia ada sahaja tidak digunakan sepenuhnya.

Kalau sebelum ini ramai mengecam MB Selangor kerana gagal mengatasi masalah gangguan bekalan air, walaupun diragui ketulenan isu itu, kerana ada unsur-unsur sabotaj bagi memburukkan kerajaan negeri, kini para YB perlu tabik kepada beliau.

Tetapi itulah MB Selangor yang lebih dikenali sebagai Amir Selamat di Selangor. Jika di Utusan ada Awang Selamat, di Selangor ada Amir Selamat.

Kenapa aku panggil Amir Selamat? Mudah sahaja beliau sentiasa mengelakkan perbalahan dan provokasi dalam tindakannya atau dalam erti kata lain beliau mengambil langkah selamat dalam banyak hal, menyebabkan rakyat yang bernaung di bawah pentadbiran beliau berasa selamat.

Aku bukan bercakap soal parti, tetapi bercakap soal kemanusiaan dan ini harus dibezakan. Tidak kira kamu dari parti mana, jika gagal memahami masalah rakyat dan hanya memikirkan masalah sendiri, kamu adalah musuh rakyat.

Kamu berada di tempat itu berkurun lamanya kerana rakyat yang memberi kepercayaan. Bukan setiap hari rakyat menuntut bakti mu, tetapi hanya ketika getir beginilah simpati dan empatimu ditagih.

Selamat Amir Selamat. Yang lain Yang Berkhidmat atau Yang Bongkak biarlah rakyat yang menilai.

 

(Visited 590 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button