Ekonomi

AHAM Capital memilih EBB untuk melaksanakan Projek Transformasi Teknologi Awan Awam

Extreme Broadband Sdn Bhd (EBB) mengumumkan yang ia bekerjasama dengan AHAM Asset Management Berhad (AHAM Capital) bagi melaksanakan projek transformasi awan awam AHAM Capital.

Kerjasama ini membolehkan AHAM Capital memanfaatkan teknologi ketersambungan EBB termasuk IX-Connect dan penghala berasaskan awan untuk digunakan dalam projek ketersambungan berasaskan awan AHAM Capital.

Sejak diperkenalkan, IX-Connect telah membantu AHAM Capital untuk mengurangkan kadar kependaman awan syarikat tersebut sebanyak 50% dengan memberikan kadar respons yang lebih hebat dan akses yang lebih pantas kepada pengguna akhir.

IX-Connect EBB ialah satu perkhidmatan ketersambungan dwilapisan khusus yang amat selamat dan  menghubungkan rangkaian pelanggan kepada ibu sawat DE-CIX (DE-CIX Internet Exchange) untuk ketersambungan dan rangkai padan (peering) berasaskan awan.

Pelanggan-pelanggan akan mendapat manfaat daripada sambungan simetrik yang selamat dan khusus kepada DE-CIX, yang akan menghubungkan mereka kepada pelbagai pembekal teknologi berasaskan awan dan pada masa sama melakukan rangkai padan dengan semua rangkaian yang menyertai platform IX.

Penghala awan EBB membolehkan pelanggan-pelanggan untuk menghalakan trafik antara rangkaian dan penyedia perkhidmatan berasaskan awan tanpa perlu melencongkan semula trafik tersebut ke premis mereka, sekali gus meningkatkan prestasi rangkaian pelanggan.

Banyak penggiat industri kewangan kini mencari-cari kaedah untuk dihubungkan dengan pelbagai pembekal teknologi awan bagi memperbaiki tahap kependaman rangkaian mereka sewaktu industri ini melalui transisi yang signifikan kepada teknologi berasaskan awan.

Dengan IX-Connect, bank-bank, syarikat insurans dan penyedia perkhidmatan kewangan kini berupaya menikmati sambungan kepada hab Internet Exchange seperti DE-CIX yang mampu memenuhi pelbagai keperluan mereka.

Syarikat-syarikat ini bukan sahaja boleh berhubung dengan pelbagai pembekal teknologi awan tetapi juga melakukan rangkai padan dengan rangkaian-rangkaian lain secara terus bagi merendahkan kependaman rangkaian mereka. Semua fungsi ini disepadukan dan dibekalkan menggunakan satu ketersambungan
tunggal.

“Sebagai pengurus aset yang berorientasikan masa depan, kami sentiasa mencari cara untuk berinovasi dan memperhebatkan pengalaman klien kami sewaktu melabur.

“Faktor-faktor seperti ketersambungan, aspek keselamatan dan kemudahan akses perlu dititikberatkan apabila dunia beralih kepada persekitaran berasaskan teknologi awan.

“Kami memutuskan untuk bekerjasama dengan EBB dalam projek tranformasi berasaskan awan awam kami yang akan menambahbaik kapasiti dan mengukuhkan prestasi rangkaian selepas melakukan kaji selidik dan ujian yang meluas,” kata Ketua Pegawai Teknologi AHAM Capital, Allen Woo.

Kata Allen lagi, “Teknologi ketersambungan EBB termasuk IX-Connect mampu memenuhi keperluan kami dengan mengisi jurang dalam perbatuan terakhir (last-mile gap) dan membantu kami berhubung dengan Internet Exchange DE-CIX secara mudah.

“Usaha ini merupakan petanda positif dalam inovasi kami untuk membekalkan nilai secara berterusan
kepada klien-klien kami.”

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan EBB, Wong Weng Yew berkata, “Kerjasama kami dengan AHAM Capital sekali lagi mengesahkan hakikat bahawa produk IX inovatif kami berupaya memberikan sumbangan yang besar kepada industri perkhidmatan kewangan.

“Kami percaya bahawa penggiat industri ini sedang berusaha memperhebatkan pengalaman pengguna dalam transformasi digital yang dilaksanakan. Teknologi yang diketengahkan EBB amat sesuai bagi menyokong transformasi digitalisasi syarikat-syarikat ini.”

Teknologi ketersambungan EBB yang bersifat futuristik membantu AHAM Capital untuk memanfaatkan penskalaan dan ekonomi teknologi awan awam tanpa menjejaskan prestasi rangkaian. Ia juga membantu menyesuaikan sebarang sambungan awan dari premis AHAM Capital kepada mana-mana penyedia teknologi awan utama di dunia.

Kelebihan ini membantu EBB dalam merangkul anugerah Malaysia Technology Excellence Awards bagi kategori Perkhidmatan Kewangan – Ketersambungan. Malaysia Technology Excellence Awards ialah organisasi anugerah yang mengiktiraf syarikat-syarikat cemerlang yang menerajui revolusi teknologi dan digital dalam industri masing-masing bagi merancakkan pertumbuhan konsisten ekonomi Malaysia.

Anugerah tersebut juga merupakan bukti keberkesanan projek EBB yang memperkasakan AHAM Capital dengan keupayaan untuk mengurangkan kependaman sambungan awannya kepada tempoh ulang alik di bawah 10ms, sekali gus memberikan kadar respons yang lebih baik dan akses yang lebih pantas kepada beban kerja awan. – SM

(Visited 111 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button