Luar Negara

Adik perempuan Kim Jong-un dilantik anggotai SAC

Pelantikan Kim Yo-jong diluluskan Dewan Rakyat Agung

ADIK perempuan kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dilantik menganggotai badan kerajaan tertinggi di negara itu. Kim Yo-jong yang menjadi penasihat utama bagi abangnya, dinaikkan pangkat ke Suruhanjaya Hal Ehwal Negara (SAC) dan sejumlah perubahan diluluskan oleh Dewan Rakyat Agung.

Menurut laporan agensi berita rasmi KCNA berhubung pelantikan itu, tidak kurang daripada sembilan anggota suruhanjaya berkenaan dipecat.

Pemecatan itu termasuk salah seorang Naib Presidennya, Pak Pong-ju dan Diplomat Choe Son-hui iaitu seorang tokoh wanita kanan yang memainkan peranan penting dalam rundingan dengan Amerika Syarikat (AS).

Akhbar rasmi Rodong Sinmun turut menerbitkan gambar lapan lantikan baharu hari ini dan Kim Yo-Jong menonjol sebagai orang muda dalam kalangan mereka dan juga satu-satunya wanita.

Beliau sering dilihat berada di samping abangnya termasuk pada sidang kemuncak dengan bekas Presiden AS, Donald Trump dan pemimpin Korea Selatan, Moon Jae-in. Peranan politik Yo-Jong yang sebenar telah lama menjadi spekulasi.

Ini merangkumi kemungkinan Yo-Jong satu hari akan menggantikan abangnya. Itu langkah yang akan  menjadikan Yo-Jong muncul sebagai pemimpin wanita pertama bagi Korea Utara.

Untuk makluman, Korea Utara adalah sebuah negara yang dikenali sebagai negara konservatif dari segi sosial.

Yo-jong beberapa kali mengecam hebat Washington atau Seoul dalam kenyataan yang disiarkan oleh media tempatan terutamanya sebelum Korea Utara meletupkan pejabat hubungan bersama yang didirikan oleh Korea Selatan di Kaesong.

Kedudukan juniornya sebagai Naib Pengarah Jabatan Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja yang memerintah negara berkenaan, menjadikan kenyataan yang dibuat Yo-Jong diselubungi kesamaran dan dalam beberapa kes, beliau secara khusus berkata, ia adalah pandangan peribadinya.

Lantikan Yo-Jong dalam SAC ini adalah jawatan paling tinggi pernah dipegangnya. – SM

(Visited 236 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button