Nasionalpilihan

Ab Rauf ketuai penerima Darjah Kebesaran Melaka

Ketua Menteri Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mendahului senarai 1,042 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-74 Yang di- Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bidara itu dikurniakan Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada istiadat yang berlangsung di Dewan Istiadat di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain@ Abd. Rasid dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Selepas itu 20 individu pula dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Antara penerimanya ialah Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib.

Turut menerima DCSM ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; Pegawai Tugas-Tugas Khas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Tajul Razi Abdul Aziz dan Pengarah Southern Generation Sdn. Bhd. Datuk Norzaity Othman.

Sementara itu seramai 18 penerima lagi menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Mendahului penerima DMSM ialah Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Zulkiflee Mohd. Zin.

Turut menerima darjah tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Dr. Anasee Ibrahim; Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin dan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Ts Dr. Massila Kamalrudin.

Bagi Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pula seramai 208 menerimanya.

Antara penerimanya ialah Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengarah Kor Armor Diraja Brigedier Jeneral, Mohd. Fazly Mat Said dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Badaruddin Mohd Kassim.

Turut sama ialah Pegawai Daerah dan Tanah Jasin Rahizi Ranom; Panglima 10 Briged (Para) Mejar Jeneral, Khairul Azmizal Ahmad Natal dan komposer terkenal tanah air Hashim Said atau lebih dikenali sebagai S. Atan.

Istiadat yang diadakan sebanyak tiga sesi bermula hari ini (Khamis), Sabtu dan Ahad ini.

Seramai 96 penerima dianugerahkan Bintang Cemerlang Melaka (BCM), 205 menerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 292 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 129 menerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan 10 penerima Pingat Khidmat Lama (PKL). – SM

(Visited 200 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button