Nasional

Sultan Kedah sumbang TV pintar, komputer riba, kemudahan Astro TV kepada sekolah terpilih

SULTAN Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengurniakan sembilan set bantuan keperluan belajar kepada sekolah terpilih dalam satu majlis di Istana Anak Bukit di Alor Setar, hari ini.

Set keperluan belajar itu mengandungi televisyen pintar berserta kemudahan saluran Astro (rancangan TVIQ dan Tutor TV) dan komputer riba, bertujuan untuk memastikan agar sesi pembelajaran di sekolah terlibat dapat dilaksanakan dengan lebih menarik, interaktif serta selari dengan perkembangan semasa.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Istana Anak Bukit, majlis kurniaan sumbangan itu adalah cetusan ilham oleh Tuanku Sultan, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Tunku Laksamana Kedah Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Kenyataan itu menyebut kurniaan itu menunjukkan keperibadian Tuanku Sultan dan keluarga Diraja baginda yang amat mementingkan kebajikan serta pendidikan rakyat di negeri ini.

Baginda amat bersimpati atas nasib dan masalah yang dihadapi oleh warga pendidik dan para pelajar dalam sesi pembelajaran pada masa yang sukar ini akibat penularan wabak COVID-19.

Sultan Sallehuddin bertitah menasihati agar warga pendidik dan para pelajar tabah serta terus berusaha walaupun dalam keadaan yang mencabar dan sukar.

“Terutama kepada warga pendidik yang boleh diibaratkan sebagai lilin yang memberikan cahaya dan menerangi jiwa para pelajar dalam membentuk seorang pemimpin pada masa hadapan,” titah baginda dalam kenyataan itu.

Sultan Sallehuddin juga bertitah agar semua sekolah yang menerima bantuan set keperluan belajar itu supaya dapat menggunakan sepenuhnya kemudahan yang dikurniakan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Baginda turut menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat korporat, konglomerat, pertubuhan serta individu untuk turut membantu warga pendidik dan para pelajar dengan memberi bantuan dalam menaik taraf kemudahan pembelajaran.

Pada majlis sama, Raja Muda Kedah turut menyumbang sejumlah beg dan pakaian sekolah kepada sembilan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah di negeri ini untuk disampaikan kepada sekolah dan pelajar yang memerlukan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Ahmad Shukri Shafie, menjunjung setinggi-tinggi kasih ke hadapan Tuanku Sultan atas kurniaan itu.

“Kami amat terharu atas keprihatinan baginda Tuanku Sultan Kedah serta keluarga Diraja baginda kerana memahami keperluan warga pendidik dan pelajar dalam meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam situasi mencabar ini,” katanya. – BERNAMA

(Visited 268 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button