Ujian penggunaan bas elektrik oleh Rapid KL
RAPID Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL sedang melakukan percubaan pengunaan bas elektrik dalam operasi perkhidmatan basnya di beberapa laluan bas terpilih. Percubaan ini melibatkan empat buah bas elektrik, dan akan berlangsung selama tiga bulan sehingga 13 Jun 2022.
Dua laluan percubaan yang terlibat adalah Laluan 400: Damai Perdana ke Hab Lebuh Pudu melalui Bukit Bintang, dan Laluan 650: Taman Desa ke Hab Pasar Seni.
Percubaan penggunaan bas elektrik ini adalah selari dengan pelan transformasi Rapid Bus melalui Program Elektrifikasi Bas yang mana bas diesel sedia ada akan digantikan dengan bas elektrik secara berperingkat menjelang tahun 2030.
Rapid Bus sudah mula menggunakan bas elektrik sejak tahun 2015 bagi koridor BRT Sunway dalam usaha mewujudkan persekitaran yang terkawal. 15 buah bas elektrik telah digerakkan dengan jumlah perjalanan lebih dari 659,000 kilometer menggunakan kaedah “overnight charging” atau pengecasan semalaman.
Baca artikel ini > MRT3 sedia sistem pengangkutan awam mampu milik
“Inisiatif ini juga selaras dengan Ikrar Kenyataan Polisi Alam Sekitar Prasarana dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) iaitu sasaran neutral karbon melalui pengurangan pelepasan karbon menjelang tahun 2050,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Encik Mohammad Yazurin Sallij.
Beliau berharap sepanjang tempoh percubaan ini berlangsung, penumpang atau penduduk di sepanjang laluan-laluan terlibat tidak melepaskan peluang untuk mencuba perkhidmatan bas elektrik ini dan memberikan maklum balas tentang bagaimana perkhidmatan ini dapat dipertingkatkan lagi.
Para penumpang boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi perkhidmatan bas Rapid KL di laman media sosial Rapid KL serta aplikasi PULSE di telefon pintar anda. Kami akan mengemas kini maklumat terbaharu bagi memudahkan para penumpang merancang perjalanan anda. – SM