
Riang Ria Raya UniMAP meriah
ARAU – Majlis Riang Ria Raya 2025 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) disambut dengan penuh kemeriahan, dihadiri lebih 2,000 warga UniMAP yang terdiri daripada barisan pengurusan tertinggi, kakitangan serta para pelajar.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor UniMAP dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro-Canselor berkenan berangkat menyempurnakan majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus Alam, Pauh Putra.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Tan Sri Datuk Sri Sufri Hj. Mhd Zin dan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli.
Dr. Zaliman dalam ucapan aluannya menyatakan, UniMAP telah memilih tema “Citra Nusantara” bagi menyerlahkan kepelbagaian budaya serta keunikan kulinari masyarakat Malaysia dari seluruh pelusuk tanah air termasuk Sabah dan Sarawak.
“Tema ini bukan sahaja meraikan kekayaan warisan pelbagai negeri, malah melambangkan semangat perpaduan yang menyatukan rakyat berbilang kaum dan latar belakang dalam suasana penuh harmoni, berlandaskan nilai-nilai murni serta semangat Aidilfitri,” tambah Naib Canselor UniMAP itu lagi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian majlis tersebut, disusuli dengan persembahan angklung oleh para pelajar ko-kurikulum UniMAP serta penyampaian penghargaan kepada tujuh penaja utama.
Baginda turut berkenan mengadakan lawatan ke setiap 18 reruai makanan yang menyajikan pelbagai hidangan yang berkonsepkan nusantara untuk dinikmati oleh seluruh warga UniMAP dan tetamu jemputan.
Majlis pada tengahari itu turut diserikan lagi dengan persembahan nyanyian oleh penyanyi terkenal tanah air yang diundang iaitu Haziq Rosebi dan Wany Hasrita.
GALERI