
JAKIM Gesa Tarik Balik 9 Produk Halal Indonesia Ada DNA Babi
JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengarahkan pengimport dan pengedar menarik semula sembilan produk makanan dari Indonesia yang tular selepas dikesan mengandungi DNA babi, termasuk tujuh produk yang sebelum ini mempunyai sijil halal.
Penemuan ini didedahkan oleh pihak berkuasa Indonesia, Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM), selepas pemeriksaan ke atas beberapa produk makanan, terutamanya kategori marshmallow. Hasil ujian mendapati 11 batch daripada sembilan produk tersebut positif mengandungi unsur porcine (babi).
Susulan pendedahan tersebut, JAKIM mengambil tindakan segera dengan mengarahkan semua pengimport yang terlibat menarik balik produk terbabit dari pasaran Malaysia. Pengimport juga diwajibkan menghubungi JAKIM bagi tindakan selanjutnya, selain JAKIM bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) menjalankan pemantauan agar produk-produk berkenaan tidak lagi dijual di pasaran tempatan.
Menurut JAKIM, tindakan tegas ini diambil bagi memastikan integriti pensijilan halal di Malaysia terus terpelihara dan hak pengguna Muslim sentiasa terjamin.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan boleh mengemukakannya secara terus melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM atau e-mel rasmi jabatan berkenaan.
JAKIM turut mengingatkan pengimport serta pengeluar agar sentiasa memastikan pematuhan piawaian halal yang ketat sebelum membawa masuk produk ke Malaysia.