
RMS buka ArRahnu X’Change ke-84
KLANG: Rakyat Management Services Sdn. Bhd. (RMS), subsidiari milik penuh Bank Rakyat mengadakan majlis perasmian operasi perniagaan francais Ar-Rahnu X’Change dan RMS Gold miliknya pada hari ini, semalam.
Majlis perasmian operasi perniagaan tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Rakyat Management Services Sdn. Bhd merangkap Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Mohd Jafri Kudus.
RMS merupakan francaisor bagi perniagaan francais pajak gadai Islam Ar-Rahnu X’Change. Pembukaan Ar-Rahnu X’Change pertama milik RMS yang beroperasi di No.125, Jalan Kebun Nenas 7A/KS8, Bandar Putera 2, 41200, Klang, Selangor ini menjadikannya bilangan rangkaian yang ke-84 beroperasi di seluruh negara.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah barisan Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat dan wakil beberapa pegawai awam dan agensi tempatan.
Mohd Jafri Kudus berkata, keputusan untuk membuka operasi perniagaan ArRahnu X’Change ini adalah berdasarkan keyakinan ke atas potensi dan perkembangan perniagaan pajak gadai Islam selain kekukuhan jenama perniagaan francais milik Bank Rakyat.
“Pembukaan operasi ARX ini juga mampu untuk mengimbangi permintaan dan memenuhi keperluan pasaran perkhidmatan pembiayaan tunai segera ini di sekitar Jalan Kebun dan daerah Klang amnya.
“Industri Ar-Rahnu ini mengalami perkembangan yang sangat positif selain peningkatan tahap kesedaran amat tinggi dalam kalangan masyarakat.” tambah beliau.
Ar-Rahnu X’Change Jalan Kebun ini juga turut berperanan sebagai premis prototaip yang menjadi pusat latihan operasi, penyelidikan pembangunan dan inovasi selain dua pusat lawatan bagi koperasi dan agensi-agensi yang berminat untuk melihat model operasi perniagaan francais ARX ini.
Pada hari ini juga RMS turut menyempurnakan acara perasmian premis perniagaan bagi cawangan kedua RMS Gold.
RMS Gold merupakan jenama perniagaan barangan kemas milik anak syarikat Bank Rakyat ini. Tawaran varian produk `preloved’ kontemporari yang menarik dengan harga yang sangat kompetitif merupakan `brand positioning’ RMS Gold sebagai jenama pilihan yang semakin berkembang di pasaran.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rakyat Management Services Sdn. Bhd, Mohamad Azwani Asa’d, RMS Gold terbukti sebagai portfolio perniagaan yang turut menjadi penyumbang utama syarikat dengan mencatatkan jumlah jualan kasar mencecah RM22 juta sepanjang tahun 2024 manakala prestasi jualan bagi suku tahun pertama 2025 adalah sebanyak RM4.9 juta.
“Kesedaran masyarakat ke atas pemilikan emas telah memasuki dimensi baharu dengan memanfaatkan aset kalis inflasi ini sebagai alternatif kepada simpanan tunai dan selain instrumen pelaburan jangka panjang,“ tambah beliau.
RMS Gold turut menawarkan alternatif penjualan atas talian yang boleh diakses menerusi laman web: rmsgold.com.my.
Pada hari ini juga menyaksikan Rakyat Management Services Sdn. Bhd menyerahkan beberapa sumbangan bagi manfaat pelbagai tujuan kepada beberapa sekolah dan masjid di sekitar kawasan Jalan Kebun, Klang.
GALERI