
Hina Nabi Muhammad lelaki berusia 63 tahun disoal siasat
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam percakapan seorang individu yang telah memuat naik komen bersifat jelik melampau menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam di laman aplikasi Facebook yang dipercayai milik beliau.
Rakaman percakapan ke atas lelaki tempatan yang berusia 63 tahun itu telah dijalankan dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor pada 20 April 2025.
Sebuah telefon bimbit berserta kad sim yang digunakan oleh suspek untuk memuat naik komen telah disita bagi tujuan analisis forensik.
Kes disiasat di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.00 atau penjara maksimum sehingga dua (2) tahun atau keduaduanya sekali.
Kertas siasatan tersebut akan ditaklimatkan kepada Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat bagi mendapatkan keputusan.
MCMC tidak akan berkompromi dan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan platform media sosial khususnya menyentuh isu 3R (agama, kaum, dan institusi diraja) yang berpotensi mengakibatkan ketegangan antara agama dan mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Orang ramai turut diingatkan untuk menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab. Sebarang aduan berkaitan boleh dikemukakan melalui saluran rasmi MCMC di https://aduan.mcmc.gov.my. – SM