
Konsert Keluarga Pertama Malaysia: Ziana, Anuar, Ernie dan Syamel
INDUSTRI muzik tanah air bakal menyaksikan detik bersejarah apabila empat nama besar—Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel—bersatu dalam satu pentas buat julung kalinya menerusi Empat Live In Kuala Lumpur 2025. Konsert istimewa yang menghimpunkan keluarga seni ini bakal berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Lebih istimewa, kolaborasi ini menggabungkan dua generasi hebat—adik-beradik Ziana dan Anuar Zain bersama anak saudara mereka, Ernie Zakri dan suaminya, Syamel—menjadikan konsert ini sebagai simbol kekuatan institusi kekeluargaan, semangat cinta dan bakat seni tempatan.
Menurut Anuar Zain, “Tidak pernah terlintas di fikiran kami akan berada di satu pentas bersama, apatah lagi berkongsi momen sebegini bersama peminat setia. Setelah bertahun merancang dan menyesuaikan jadual, akhirnya impian ini bakal direalisasikan tahun ini.”
Bagi Ziana Zain, penganjuran konsert ini adalah hadiah buat peminat pelbagai generasi. “Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bukan sekadar konsert, ia perayaan cinta dan magis seni dua generasi, dari saya dan Anuar hingga ke Ernie dan Syamel. Datanglah, rasai keindahan muzik dan bawa pulang kenangan terindah!”
Ernie Zakri tidak menyembunyikan rasa teruja. “Dari kecil saya membesar di depan mata Ziana dan Anuar. Kini, berdiri bersama mereka di pentas yang sama adalah impian jadi nyata buat saya dan Syamel.”
Senada, Syamel menyifatkan konsert ini sebagai peluang luar biasa.
“Setiap seorang ada keistimewaan tersendiri, bila digabungkan pasti akan hasilkan persembahan penuh energi dan magis.”
Konsert ini akan diarahkan oleh Jennifer Thompson manakala Sze Wan bertindak sebagai pengarah muzik, dibantu barisan pemuzik handalan tanah air. Penonton bakal dihidangkan dengan pelbagai momen eksklusif dan medley lagu-lagu hit empat dekad.
Tiket Empat Live In Kuala Lumpur 2025 boleh didapati bermula 25 April 2025, 10 pagi di Ticket2U.com.my/empatkl dengan harga bermula RM288 (Bronze) sehingga RM2,088 (Royal Twin Seat). Khas buat OKU, boleh hubungi hotline +6011-1190 0518 untuk pembelian tiket.