Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah supaya umat Islam sentiasa memahami kehendak al-Quran yang sentiasa meminta agar umatnya saling sokong menyokong, bantu membantu dan bersepakat dalam mengejar kecemerlangan dan kemakmuran bersama.
Baginda bertitah, al-Quran telah mengingatkan kita semua melalui Firman Allah Azzawajalla dalam Surah Al-Anbiya ayat 92 yang bermaksud: “Sesungguhnya ini adalah umat kalian, Ummatan Wahidah (umat yang satu,) dan Aku adalah Tuhan kalian, maka bertakwalah kepada-Ku.
“Ayat ini membawa kepada makna bahawa, meskipun bangsa ini terdiri dari beragama suku, berbilang kaum, rencam bahasa, dan penampilan luar, namun pada hakikatnya adalah ummat yang satu serta bersatu sebagai gagasan ummat yang hebat dan terbilang,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Penutupan Forum Ummatan Wahidah Sempena Program Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke Wilayah Trang bagi Tahun 2023 di Masjid Madinatul Al- Islam, Trang, Thailand.
Progam Ziarah Mahabbah ini diketuai oleh Tuanku Raja Muda Perlis selaku Yang Di Pertua (YDP) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bersama Delegasi Jawatankuasa Pengurusan Zakat dan Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs ke Wilayah Trang, Thailand dari 6 hingga 8 Oktober.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Turut hadir, Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Konsul Jeneral Malaysia, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi.
Pada majlis berkenaan, Baginda juga berkenan mengurniakan cederamata kepada wakil Majlis Agama Islam (MAI) 6 Wilayah Andaman dan juga sumbangan penyelenggaraan masjid sebanyak RM20,000.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah supaya sentiasa berusaha mencari titik persamaan dan mengelakkan sebarang anasir yang boleh memecah belahkan sesama Umat Islam.
“Kesatuan yang padu di kalangan umat Islam juga merupakan salah satu dakwah yang menonjolkan kehebatan Islam,” titah Baginda.
Baginda juga berharap umat Islam memberikan fokus kepada potensi yang ada pada setiap lapisan masyarakat dalam mempertingkatkan lagi tahap sosio ekonomi Ummah.
“Setiap kekuatan yang ada di kalangan umat Islam, haruslah digembleng agar dapat diintegrasikan dalam rangka mempertingkat aspirasi kecemerlangan bersama,” katanya.
Baginda juga berharap dapat diwujudkan dirancakkan lagi wacana, program dan inisiatif bagi menjadi medium interaksi kolaborasi antara umat Islam.
Titah Baginda, inisiatif ini mencangkumi pelbagai lapangan seperti pendidikan, dakwah, ekonomi, sukan termasuk kebudayaan. – SM