Takaful Malaysia sedia makanan berkhasiat kepada 1,000 pelajar asnaf
Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia), pengendali takaful PERTAMA di Malaysia, melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyediakan makanan harian berkhasiat kepada 1,000 pelajar Asnaf di sepuluh buah sekolah rendah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Program CSR yang dikenali sebagai Program Di Hatiku Student Food Aid ini selaras dengan agenda CSR dan kemampanan Takaful Malaysia dalam pembangunan bangsa dan meningkatkan kesihatan, keadaan fizikal dan nutrisi pelajar yang kurang bernasib baik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, program bantuan makanan ini adalah untuk memenuhi tanggungjawab kami sebagai sebuah institusi kewangan Islam dalam mengagihkan Zakat kepada penerima Asnaf yang layak.
“Sebagai menyokong usaha kerajaan, kami berhasrat untuk mencipta nilai mampan dalam komuniti setempat melalui program ini dengan menyediakan makanan berkhasiat setiap hari dan menambah baik pengambilan malnutrisi dalam kalangan pelajar yang kurang bernasib baik.
“Tanggungjawab dan komitmen kami adalah untuk membantu Kerajaan dalam menangani masalah malnutrisi dengan memperkasakan kanak-kanak dengan makanan sihat.
“Ini juga selaras dengan semangat takaful iaitu membantu satu sama lain terutama golongan yang memerlukan,” katanya
Program Di Hatiku Student Food Aid Takaful Malaysia dilancarkan pada Julai 2023 dengan melibatkan 1,000 pelajar Asnaf di sepuluh (10) sekolah rendah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Melalui program bantuan makanan tersebut, Takaful Malaysia membekalkan set makanan harian kepada pelajar Asnaf yang layak daripada keluarga berpendapatan rendah di sekolah masing-masing.
Program ini dijadualkan berlangsung sehingga Februari 2024 bagi tahun akademik sekolah 2023/2024.
“Seruan kami adalah menjalankan tanggungjawab dan menjadi warga korporat yang baik dengan membantu dan memperkasakan generasi muda melalui makanan nutrisi. Menyedari betapa pentingnya pelajar Asnaf dari keluarga berpendapatan rendah mendapat akses makanan seimbang di sekolah, kami mengambil keputusan untuk memulakan usaha ini dan menghulurkan bantuan.
“Justeru, kami bekerjasama rapat dengan KPM, pentadbir sekolah terpilih dan pengusaha kantin untuk mengurus dan melaksanakan program bantuan makanan dengan baik.
“Setiap pelajar Asnaf terpilih dibekalkan dengan set kotak makan tengah hari lengkap. Pemilihan menu harian adalah berdasarkan piramid makanan untuk kanak-kanak yang terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan dan sumber protein yang bersesuaian dengan keperluan pelajar Asnaf. Kami juga menyediakan kanak-kanak dengan botol air untuk menggalakkan mereka minum lebih banyak air dan kekal terhidrat,” kata Nor Azman.
Program Di Hatiku Student Food Aid Takaful Malaysia menyokong Matlamat Pembangunan Mampan untuk membasmi malnutrisi dan memastikan akses tetap terutamanya kepada Asnaf dan kanak-kanak kurang bernasib baik, kepada makanan berkhasiat dan mencukupi untuk pertumbuhan dan perkembangan normal serta kehidupan yang sihat.
Meletakkan senyuman di wajah kanak-kanak dan melihat mereka menikmati hidangan adalah ganjaran terbaik. Kami gembira kerana program bantuan makanan ini mendapat sambutan positif dan memberangsangkan dan berharap akan terus memberi manfaat kepada pelajar Asnaf. – SM