fbpx
Nasional

577 individu ditahan kerana ingkar PKP

SEBANYAK 577 individu telah ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 522 individu telah dikompaun manakala 55 individu pula direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (215), aktiviti pusat hiburan (116) dan tidak memakai pelitup muka (113).

“Kesalahan lain yang turut dikesan ialah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (71), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (53) dan lain-lain (9),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Ismail, Operasi Benteng pula berjaya menahan 49 pendatang asing tanpa izin (PATI), dua penyeludup dan merampas empat kenderaan.


Jelasnya, sebanyak 278 sekatan jalan raya dilakukan pihak polis dan agensi berkaitan yang lain di seluruh negara.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” jelasnya.

Sementara itu, Ismail turut memberitahu yang bekalan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

Tambahnya, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat 637 pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (467), pemborong (139) dan pengilang (31). -SM

(Visited 25 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button