JenayahNasionalNegeri

Pekedai runcit jual barang kawalan tamat lesen diserbu

SEBUAH kedai runcit di Kampung Melayu, Padang Besar, Perlis diserbu semalam dalam usaha kerajaan mengekang penyelewangan barang kawalan di negeri ini.

Salah seorang penguat kuasa memeriksa gula yang termasuk barang kawalan disebuah kedai runcit di Kampung Melayu di Padang Besar, semalam. – Gambar KPDN Perlis

Sekaligus ia membawa kepada penemuan 156 kilogram gula pasir dan 66 paket tepung gandum yang dianggarkan kesemuanya bernilai RM719.60 yang disimpan di dalam kedai runcit berkenaan.

Peniaga premis juga didapati masih lagi berurusniaga barang kawalan berjadual ini sekalipun lesen telah tamat tempoh.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, Norazah Jaapar berkata, barang kawalan ini ditemui dari pemeriksaan yang dilakukan oleh enam Pegawai Penguat Kuasa.

“Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati peniaga premis perniagaan runcit tersebut gagal mengemukakan suatu lesen atau kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia dalam tempoh sah untuk berurus niaga ke atas barang kawalan berjadual iaitu gula dan tepung gandum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazah berkata, satu tindakan kes telah diambil ke atas peniaga premis kedai runcit berkenaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut terhadap kes ini dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 112) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000,” katanya.

Tepung gandum antara yang dikesan dijual pada pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa di Kampung Melayu, Padang Besar. – Gambar KPDN Perlis

Selain itu, katanya, siasatan juga boleh di buat di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2011 bagi mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah AKB 1961.

Justeru itu juga, katanya KPDN Perlis ingin memberikan amaran keras dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan ke atas barang kawalan berjadual.

Pejabat ini menyeru mana-mana individu dan syarikat agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan oleh kementerian.

KPDN Negeri Perlis sentiasa komited dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan dari semasa ke semasa bagi mempergiat serta mempertingkatkan kawalseliaan dan operasi ke atas pengedaran barang kawalan berjadual di dalam negeri ini khususnya bagi memastikan bekalan barang kawalan berjadual untuk kegunaan rakyat negeri ini sentiasa mencukupi dan tidak berlaku ketirisan yang boleh merugikan negara.

KPDN sentiasa memperkasakan penguatkuasaan di semua peringkat, kawasan dan lokaliti dan mengambil serius dalam membanteras isu penyelewengan barang kawalan berjadual. – SM

BACA “Perlis Baharu” bakal henti lesen judi

(Visited 31 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button