Politik

PRK Gerik: UMNO harap Bersatu, PAS beri laluan – Zahid

UMNO berharap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS akan memberi laluan kepada UMNO untuk meletakkan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik yang ditetapkan pada Januari tahun depan.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sokongan kedua-dua pihak perlu untuk memberi kemenangan di kerusi yang merupakan kubu kuat parti itu.

“Memandangkan ketika ini kita menghadapi pandemik COVID-19, seharusnya semua pihak termasuk pembangkang perlu mengelakkan pertandingan dalam pilihan raya kecil tersebut sekali gus memberi kemenangan kepada calon UMNO,” katanya kepada pemberita dalam Program Ziarah Kasih di sekitar Bagan Datuk hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Gerik diadakan pada 16 Jan 2021 berikutan kematian penyandangnya Datuk Hasbullah Osman pada 16 Nov lepas akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Allahyarham Hasbullah menewaskan Norhayati Kasim daripada PAS dengan majoriti 6,216 undi serta mempertahankan kerusi bagi kawasan itu pada PRU14 dengan majoriti 5,528 undi mengalahkan calon PAS Mohd Dahalan Ismail dan calon Bersatu Ibrahim Mohd Hanafiah.

Mengenai calon yang akan bertanding, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata pihaknya akan meletakkan calon tempatan kerana individu itu lebih mengenali dan memahami permasalahan setempat serta kehidupan masyarakat di kawasan berkenaan.

Presiden UMNO itu berkata, beliau menyerahkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad untuk mengadakan perbincangan secara terperinci dengan UMNO Bahagian Gerik mengenai individu yang sesuai diletakkan sebagai calon PRK Parlimen Gerik.
“Kita akan memilih yang terbaik dalam kalangan calon terbaik. Kita akan senarai pendek nama-nama itu apabila UMNO Bahagian Gerik mengemukakannya kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri seterusnya mengemukakan (calon) kepada saya selaku Pengerusi BN untuk kita muktamadkan,” katanya.

 

Menyentuh kemungkinan PRK Parlimen Gerik ditangguh sekiranya diisytiharkan darurat seperti kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah, Ahmad Zahid berkata ia tidak mungkin berlaku kerana Gerik berada dalam kawasan zon hijau.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Azian Osman dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri yang baharu bagi menggantikan Hasbullah. – BERNAMA
(Visited 113 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button