fbpx
Nasional

180 individu ingkar PKP ditahan semalam – Ismail Sabri

SERAMAI 180 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 16 direman manakala 164 individu lagi dikenakan kompaun kerana terlibat dalam aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

“PDRM menangkap tiga warganegara asing kerana kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masuk hari ke-60, hari ini.

Mengulas perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 7,364 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Kesemua mereka yang pulang dari 30 negara itu telah ditempatkan di 30 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, N.Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah, untuk proses kuarantin wajib.

“Daripada jumlah itu, seramai 20 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan kerana positif COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, sejak 30 Mac lalu, sebanyak 9,530 operasi sanitasi awam merangkumi 134 zon, di mana sebanyak 12,809 premis telah disanitasi.

“Premis yang disanitasi terdiri daripada 2,694 pusat perniagaan, 5,627 bangunan kerajaan, 1,591 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,543 tempat awam dan 354 pasar raya,” katanya. – BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button