Nasional

PM ke-9 ajak selamatkan ‘Keluarga Malaysia’

PERDANA Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru kepada semua pihak termasuk ahli Dewan Rakyat untuk sepakat menyelamatkan ‘keluarga Malaysia’.

Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong semalam, mahu semua pihak bersama-sama memulihkan semula negara.

“Saya menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.

“Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan.

“Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia. Kita adalah sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum,” katanya.


Ismai Sabri berkata, beliau menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa tersebut bersifat lebih inklusif kerana ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum.

“Di mana, kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua.

“Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga,” katanya.

Tambah Ismail Sabri bagi tujuan mengurangkan kesan ekonomi yang berpanjangan kerajaan akan menumpukan usaha ke arah mencapai dua objektif utama.

Objektif pertama, mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna.

Manakala objektif kedua, mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Sehubungan itu, fokus usaha kita ialah rakyat yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, rakyat yang berpendapatan sederhana, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta sektor perindustrian termasuk industri pelancongan domestik.

“Fokus ini merupakan sebahagian daripada inisiatif jangka pendek untuk mengembalikan ekonomi rakyat khususnya dan menjana ekonomi negara secara menyeluruh,” katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau menginsafi kepayahan, kesengsaraan dan keperitan hidup yang mencengkam  rakyat.

Ada yang hilang mata pencarian, ada yang terputus bekalan makanan, malah ada yang dibuang kerja.

“Saya memahami keringat dan nilai sesuap nasi, kerana saya lahir dan membesar dalam keluarga anak petani yang susah.

“Oleh sebab itu, saya sangat menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak ini,” katanya. -SM

 

(Visited 82 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button